Suzuki Motorcycle India Pvt. Ltd. (SMIPL) pada kelmarin secara rasminya melancarkan Suzuki Gixxer SF 250 model tahun 2020 terbaharu, yang kini telah menerima naik taraf bagi mematuhi piawaian emisi BS6. Model tersebut hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Metallic Mat Platinum Silver, Metallic Mat Black No. 2 dan Metallic Triton Blue.
Suzuki Gixxer SF 250 BS6 dilengkapi enjin bersesaran 249cc (4-Stroke, 1-cylinder, Oil cooled, SOHC) dengan sistem suntikan bahan api, yang menghasilkan kuasa maksimum 26.5PS @ 9,300rpm dan tork 22.2Nm @ 7,300rpm. Enjin yang bertenaga itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan manual yang lancar.
Suzuki Gixxer SF 250 BS6 mempunyai tangki minyak dengan isian maksimum 12 liter, ketinggian tempat duduk penunggang 800 mm dan berat motosikal pada paras 161 kg (kerb mass). Sistem suspensi depan dengan fork teleskopik dan belakang monoshock melengkapkan kawalan jentera sporty itu, manakala sistem brek Dual Channel ABS dengan cakera di depan dan belakangnya menawarkan tahap keselamatan tertinggi.
Bagi menambahkan lagi nilainya sebagai sebuah motosikal sportbike yang serba lengkap, Suzuki Gixxer SF 250 BS6 tampil dengan pelbagai ciri-ciri dan spesifikasi menarik antaranya seperti Suzuki Easy Start System, paparan instrumen digital, lampu depan dan belakang LED, bar hendal jenis clip-on untuk posisi tunggangan sporty, muffler ekzos rekaan berkembar yang bergaya dan saiz tayar yang lebih lebar.
Untuk pasaran India, Suzuki Gixxer SF 250 BS6 model tahun 2020 ditawarkan pada harga 174,000 Rupee (Delhi), bersamaan RM 10,020.62 mengikut kadar semasa, bagi model berwarna perak dan hitam. Untuk versi MotoGP Edition, harganya ditetapkan sebanyak 174,900 Rupee (Delhi), bersamaan RM 10,072.45 mengikut kadar semasa.