Honda NSR250R SP 1989 tampil unik dengan klac kering dan rim magnesium

Pada bulan April 1989, Honda telah memperkenalkan sebuah model istimewa Honda NSR250R SP untuk pasaran domestik Jepun. Keunikan model tersebut ialah ianya didatangkan dengan sistem klac jenis kering dan rim roda magnesium.

Selain itu, sistem suspensi depan dan belakang untuk model berkenaan juga didatangkan dengan mekanisma boleh laras sebagai ciri standard, untuk memberikan daya redaman yang sesuai untuk situasi tunggangan yang optimum.

Kebiasaannya klac jenis kering pada motosikal digunakan pada jentera perlumbaan, seperti mana yang digunakan oleh jentera perlumbaan di dalam siri MotoGP. Ini kerana tahap kecekapannya yang lebih tinggi berbanding klac jenis basah.

Sementara kelebihan penggunaan rim magnesium ialah atas faktor materialnya yang sangat ringan, di samping faktor ketahanan. Hasilnya, Honda NSR250R SP model tahun 1989 ini berjaya mengurangkan berat roda depan dan belakang sehingga kira-kira 1.5 kg. Berat keseluruhan motosikal pula ialah 150 kg (berat kering 132 kg).

Spesifikasi enjinnya pula ialah enjin dua lejang bersesaran 249cc (90-degree V-type 2-cylinder), bersama-sama sistem penyejukan cecair, transmisi enam kelajuan, sistem penghidup jenis tendang dan tangki bahan api dengan isian maksimum 16 liter. Janaan kuasa maksimumnya mencapai 45PS @ 9,500rpm dengan tork 37.3Nm @ 8,000rpm.

Seterusnya ianya dilengkapi sistem brek cakera berprestasi tinggi jenis berkembar di bahagian depan dan cakera tunggal di bahagian belakang, manakala tayar depan dan belakangnya masing-masing hadir dalam siri 110/70 R17 54H dan 150/60 R18 67H.

Menurut Honda, skim warna dan grafik pada model NSR250R SP ini adalah berdasarkan jentera perlumbaan Ajinomoto Honda Racing Team yang bersaing dalam kelas perlumbaan GP250cc. Ianya menggunakan dua tona warna putih dan perak.

Ketika dilancarkan pada April 1989, Honda menetapkan sasaran jualan tahunan sebanyak 3,000 unit setahun. Harga yang ditawarkan pula adalah sebanyak 689,000 Yen, kira-kira sekitar RM 27,862.47 berdasarkan kadar tukaran semasa ketika ini.