Benelli 249R tampil dengan enjin 250cc, sesuai untuk pemegang lesen kelas B2

Untuk pasaran Malaysia, Benelli menawarkan model sportbike 302R yang dilengkapi enjin dua silinder bersesaran 300cc, pada harga sekitar RM 22,988.00. Namun kelibat motosikal tersebut agak jarang dapat dilihat, mungkin kerana ianya kurang mesra peminat motosikal tempatan yang rata-ratanya hanya memiliki lesen dalam kelas B2.

Mungkin jika Benelli menawarkan model tersebut dalam versi enjin lebih kecil seperti 250cc misalnya, maka lebih ramai yang akan berpeluang untuk memilikinya. Sebenarnya untuk pasaran luar negara, Benelli sememangnya menawarkan model 302R dengan versi enjin dalam kelas 250cc, dan ianya diberi nama Benelli 249R.

Benelli 249R mempunyai enjin bersesaran 250cc (In-line 2-cylinders, 4-stroke, liquid cooled, 4 valves for cylinder double overhead camshaft) dengan padanan transmisi enam kelajuan dan sistem suntikan bahan api elektronik, serta menawarkan kuasa maksimum 31.5hp @ 10,000rpm. Bagaimanapun jumlah tork tidak diumumkan.

Spesifikasi lain didapati tidak kurang menariknya, apabila Benelli 249R dilengkapi fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan berkembar (double floating disks 260 mm with 4 pistons caliper), brek cakera belakang tunggal (single disc 240 mm with floating calliper single piston) dan rim aloi aluminium dengan tayar depan 110/70-ZR17 dan tayar belakang 150/60 – ZR17.

Benelli 249R dilengkapi tangki petrol dengan isian penuh 14 liter, sama seperti yang dimiliki oleh Benelli 302R. Berat kering motosikal tersebut berada pada paras 180 kg. Jika Benelli 249R ini dilancarkan di pasaran Malaysia, ianya tentu ditawarkan pada harga lebih rendah. Pada pendapat anda, inikah pencabar sebenar Yamaha YZF-R25?

Artikel berkaitan : Benelli 302 R model tahun 2020