Kawasaki Z400 2020 terima kemaskini warna baharu

Untuk musim jualan bagi tahun 2020 di pasaran Eropah, Kawasaki masih menawarkan jentera naked Z400 sama seperti model tahun sebelumnya, namun dengan kemaskini warna dan grafik baharu agar penampilan terkininya kekal segar dan sporty.

Kawasaki Z400 model tahun 2020 kini tampil dengan pilihan warna baharu Metallic Matte Graphite Gray / Metallic Spark Black, bagi menggantikan warna terdahulu Candy Cardinal Red / Metallic Flat Spark Black. Warna Candy Lime Green / Metallic Spark Black bagaimanapun masih dikekalkan untuk musim ini.

Kawasaki Z400 dilengkapi enjin 399cc (Liquid-cooled, 4-stroke, Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan padanan transmisi enam kelajuan, bersama-sama sistem Assist & Slipper Clutch untuk tunggangan yang lebih mudah. Enjin berprestasi itu menghasilkan kuasa maksimum 45PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 38Nm @ 8,000rpm.

Untuk keselesaan dan kawalan jitu sewaktu tunggangan, model naked tersebut didatangkan sepasang fork depan teleskopik dengan diameter 41 mm, manakala di bahagian belakangnya ialah suspensi tunggal yang boleh dilaraskan (Bottom-Link Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload).

Untuk pemberhentian yang selamat dan cekap, sistem brek Z400 dilengkapi dengan teknologi ABS, bersama-sama brek cakera depan dan belakang tunggal masing-masing dengan diameter 310 mm dan 220 mm. Tangki bahan api Z400 didatangkan dengan kapasiti maksimum 14 liter, manakala berat keseluruhannya ialah 167 kg.

Kawasaki Z400 model tahun 2020 turut dilengkapi panel instrumen digital LCD dengan paparan pelbagai fungsi dan maklumat berguna, sementara lampu depan LED bukan saja tampil dengan rekaan menarik malah mempunyai suluhan yang cukup terang.

Galeri : 2020 Kawasaki Z400

Galeri : 2019 Kawasaki Z400

(Visited 330 times, 1 visits today)