Yamaha perkenal FZ 25 dan FZS 25 2020 untuk pasaran India yang kini patuh piawaian emisi BS6

Pada tarikh 04hb. Februari 2020 yang lepas, India YAMAHA Motor Pvt. Ltd. telah memperkenalkan model street fighter FZ 25 model tahun 2020 terbaharu, yang kini telah mematuhi piawaian pelepasan asap BS6 yang lebih ketat untuk pasaran India.

Bersama-sama pengenalan model tersebut ialah FZS 25, yang hadir dengan beberapa kelengkapan tambahan berbanding FZ 25. Kedua-dua model dilengkapi enjin 249cc (Air Cooled, SOHC, 4 Stroke, Single-cylinder) dengan padanan kotak gear lima kelajuan.

Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api, sistem penghidup elektrik dan klac tangan. Janaan kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berkenaan berada pada paras 20.8PS (15.3kW) @ 8,000rpm dan tork puncak 20.1Nm @ 6,000rpm.

Berat keseluruhan Yamaha FZ 25 dan FZS 25 masing-masing hanya 153 kg dan 154 kg, memberikan kelebihan dari segi nisbah kuasa kepada berat, seterusnya menawarkan kawalan tunggangan lebih mudah dan penggunaan petrol lebih ekonomi.

Antara ciri-ciri menarik yang diperkenalkan untuk FZ 25 dan FZS 25 ialah ‘Multi-Function Negative LCD Instrument Cluster’, ‘LED Day Time Running Lamp’, ‘Class D Bi Functional LED Headlight’, ‘Under cowling’, ‘Side Stand with Engine Cut-off Switch’, ‘Advanced Midship Muffler Cover’ dan ‘140 mm Wider Rear Tyre’.

Berbanding FZ 25, kelengkapan tambahan yang dipasangkan untuk FZS 25 ialah ‘Long Visor’, ‘Brush Guard’ dan ‘Golden Colour Wheel’, yang mana ianya bukan saja memberi kelebihan pada nilai astetik malah praktikaliti sepanjang sesi tunggangannya.

Untuk prestasi pemberhentian pada tahap cemerlang, sistem brek FZ 25 dan FZS 25 didatangkan dengan cakera berdiameter sebesar 282 mm (depan) dan 220 mm (belakang), bersama-sama teknologi ABS dwi-saluran yang lebih cekap dan selamat.

Kehadiran suspensi belakang monocross boleh laras (7-Step Adjustable Monocross Suspension) pula menawarkan keseimbangan, kestabilan dan keselesaan terbaik sewaktu tunggangan, membolehkan penguasaan di sebarang jenis permukaan jalan.

Yamaha FZ 25 2020 BS6 boleh didapati dalam dua pilihan warna menarik seperti Racing Blue dan Metallic Black, manakala Yamaha FZS 25 2020 BS6 hadir dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Patina Green, White-Vermillion dan Dark Matt Blue.

Harga untuk kedua-dua model berkenaan masih belum diumumkan memandangkan negara India baru-baru ini telah menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (lockdown) disebabkan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini.

(Visited 3,024 times, 1 visits today)