MV Agusta pada beberapa hari yang lepas telah mengumumkan pengeluaran model hyper naked terbaharunya Rush 1000 akan bermula pada bulan Jun 2020. Tempahan untuk model edisi terhad yang hanya akan dikeluarkan sebanyak 300 unit itu juga kini dibuka secara online dan melalui rangkaian wakil pengedar mereka di seluruh dunia.
MV Agusta Rush 1000 model tahun 2020 ini diperkenalkan secara rasmi di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2019 dalam bulan November tahun lepas. Tampil dengan gaya dan rekaan luar biasa, ianya dikuasakan enjin empat silinder 998cc, yang kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Hamburan kuasa dan tork masing-masing mencapai angka 208hp @ 13,000rpm dan 116.5Nm @ 11,000rpm.
Dengan berat kering hanya 186 kilogram, Rush 1000 mempunyai kelajuan maksimum sehingga 300 km/j. Pilihan warna tunggal yang ditawarkan pula ialah Dark Metallic Matt Grey / Mamba Red Matt Carbon / Metallic Bronze. Harganya untuk pasaran Eropah ditetapkan bermula 34,000 Euro, bersamaan RM 161,785.34 mengikut kadar semasa.
Artikel berkaitan : MV Agusta Rush 1000 2020 tampil unik dan ekstrem