Triumph Scrambler 1200 Bond Edition 2020 diperkenalkan, edisi terhad 250 unit

Pada Disember 2019, Triumph telah mengumumkan kerjasama rasmi dengan EON Productions, seterusnya mendedahkan bahawa motosikal Triumph akan beraksi di dalam filem James Bond kali yang ke-25, No Time To Die.

Bagi meraikan kerjasama ikonik tersebut, Triumph, jenama pengeluar motosikal premium Bristish, dengan bangganya memperkenalkan motosikal rasmi pertama keluarannya yang secara langsung dihubungkan dengan francais filem Bond.

Motosikal tersebut ialah Triumph Scrambler 1200 Bond Edition 2020, dikeluarkan sebagai model edisi terhad dalam jumlah hanya 250 unit sahaja untuk pasaran di seluruh dunia. Motosikal edisi Bond ini diinspirasikan daripada model custom Scrambler 1200 yang beraksi di dalam filem No Time To Die.

Menurut Triumph, Scrambler 1200 Bond Edition dilengkapi dengan spesifikasi penuh seperti mana yang terdapat pada model Scrambler 1200 XE, bersama-sama skim rekaan James Bond yang unik dan elegan. Antaranya termasuklah kemasan cat berwarna hitam yang tersendiri, branding 007 pada panel ekzos, kusyen kulit dengan logo bersulam dan startup skrin instrumen TFT dengan logo Bond yang unik.

Setiap unit akan dipasangkan dengan plak edisi bernombor khas dan lencana unik, disertai pek penyerahan istimewa Bond. Triumph Scrambler 1200 Bond Edition 2020 kini sudah boleh ditempah di seluruh dunia mulai 21hb. Mei 2020. Harganya bermula dari £18,500.00 OTR, bersamaan RM 98,293.39 pada kadar semasa.

Scrambler 1200 Bond Edition dikuasakan enjin 1,200cc (liquid-cooled, 8-valve, SOHC, 270° crank angle parallel-twin) dengan gandingan transmisi enam kelajuan, dan menjana kuasa maksimum 89hp @ 7,400rpm dengan tork 110Nm @ 3,950rpm.

Ianya dilengkapi enam mod tunggangan, Cornering ABS dan Traction Control yang dioptimumkan dengan sokongan unit IMU, sistem lampu LED sepenuhnya dengan lampu utama DRL, torque assist clutch, keyless ignition, heated grips, cruise control, pengecas USB dan My Triumph Connectivity System and App.

(Visited 47 times, 1 visits today)