Honda umum enam pilihan warna menarik untuk Honda Super Cub 110 di pasaran Jepun

Dalam bulan April yang lalu, Honda telah mengumumkan enam pilihan warna yang menarik untuk model Super Cub 110 bagi musim jualan tahun semasa, dan akan berada di pasaran domestik Jepun mulai tarikh 22hb. Mei 2020.

Enam pilihan warna tersebut termasuklah satu warna baharu Pearl Flash Yellow, di samping lima pilihan warna yang lain seperti Glint Wave Blue Metallic, Classical White, Virgin Beige, Tasmanian Green Metallic dan Arbein Denim Blue Metallic.

Honda Super Cub 110 model tahun 2020 ini dijual pada harga 280,500 Yen, bersamaan RM 11,382.92 mengikut kadar mata wang semasa.

Sebagai makluman, Super Cub 110 memiliki enjin 109cc (air-cooled, 4-stroke, OHC, single cylinder, PGM-FI) dengan transmisi empat kelajuan. Kuasa yang dihasilkan berada pada paras 8.0PS @ 7,500rpm dengan tork maksimum 8.5Nm @ 5,500rpm.

Antara ciri-ciri lain yang melengkapi Super Cub 110 adalah seperti suspensi depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, sistem brek depan dan belakang jenis konvensional, kapasiti tangki bahan api 4.3 liter dan berat motosikal 99 kilogram.

Sementara itu, aspek gaya dan rekaannya yang bercirikan klasik moden kelihatan kekal menarik sehingga kini, tambahan pula dengan adaptasi pelbagai teknologi terkini.

(Visited 179 times, 1 visits today)