Bilakah Kawasaki Ninja ZX-25R akan dilancarkan dan berapakah harganya? Berapa pula kelajuan maksimumnya?

Salah sebuah model sportbike yang ditunggu-tunggu tahun ini, Kawasaki Ninja ZX-25R, dikhabarkan bakal dilancarkan di pasaran Indonesia pada 10hb. Jun 2020 akan datang. Maklumat dari seberang ini dikatakan datangnya dari wakil pengedar Kawasaki sendiri baru-baru ini, namun tidak dapat dipastikan setakat manakah kesahihannya.

Sebelum ini Kawasaki Ninja ZX-25R telah ditetapkan pelancarannya pada tarikh 04hb. April 2020, namun gara-gara wabak virus Covid-19 yang melanda di seluruh dunia pada ketika itu, maka majlis pelancaran tersebut terpaksa dibatalkan. Ini membuatkan para peminat Kawasaki di pasaran Indonesia dan juga di seluruh dunia berasa kecewa.

Merujuk kepada maklumat seterusnya, antara masalah yang dihadapi oleh kilang Kawasaki di Indonesia sebelum ini ialah mereka tidak dapat menghasilkan jumlah unit yang mencukupi untuk Ninja ZX-25R menjelang pelancarannya nanti. Ini disebabkan oleh berlakunya masalah aliran komponen-komponen penting yang diimport, di mana masalah ini juga dikatakan berkaitan dengan wabak virus Covid-19.

Kawasaki dikatakan tidak mahu tergesa-gesa melancarkan Ninja ZX-25R, sedangkan kapasiti pengeluaran masih terlalu sedikit. Mereka bimbang jika tempahan diterima dalam jumlah yang tinggi sedangkan penghantaran kepada pelanggan mengambil masa yang lama, sudah tentu ianya akan mengecewakan para pembelinya.

Berkenaan harga, Kawasaki Ninja ZX-25R ini disebut-sebut akan didatangkan dengan tanda harga bermula dari Rp. 100 juta untuk varian permulaan, sehinggalah ke varian tertinggi pada harga Rp. 135 juta. Ini bersamaan dengan nilai RM 29,513.65 sehingga RM 39,843.43, berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa.

Jadi, sama ada benar atau tidak Ninja ZX-25R akan dilancarkan pada 10hb. Jun 2020 ini, sama-samalah kita tunggu. Mungkin juga majlis pelancaran akan dibuat secara konvensional atau secara online sahaja, yang penting para peminat Kawasaki sudah tidak sabar-sabar untuk melihat model 250cc empat silinder ini dilancarkan segera.

Berkenaan kelajuan maksimum Ninja ZX-25R, ini merupakan aspek yang paling penting untuk bakal pemiliknya. Setakat ini berdasarkan aksi tunggangan Jonathan Rea di Litar Jerez pada 21hb. Januari 2020 yang lalu, kelajuan maksimum yang berjaya dicatatkan ialah 162 km/j, ketika jarum RPM berada pada 16,000rpm dan pada gear yang ke-6.

Untuk pasaran Malaysia, dijangkakan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd tidak akan mengambil masa yang lama untuk membawa masuk model ini ke pasaran tempatan, paling awal pada tahun depan. Jadi sempatlah para peminat Kawasaki di Malaysia untuk mengumpul duit untuk bayaran muka atau penuh mengikut kemampuan.

(Visited 2,207 times, 2 visits today)