Yamaha TZM50R 1993 tampil kompak namun sporty

Sekali pandang, Yamaha TZM50R keluaran tahun 1993 ini saling tidak tumpah seperti model Yamaha TZM150. Bezanya ialah saiznya yang kompak dengan kapasiti enjin yang jauh lebih kecil, namun penampilannya tetap kelihatan menarik dan sporty.

Berdasarkan maklumat dari Wikipedia Japan, Yamaha TZM50R dilancarkan pada Februari 1993, sebelum pengeluarannya ditamatkan pada Disember 1999. Enjinnya hanya berkapasiti 49cc, dua lejang dengan sistem penyejuk jenis cecair, bersama-sama kotak gear enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 7.2PS.

Sistem suspensi depan TZM50R dipasangkan fork teleskopik, manakala dibelakangnya ialah suspensi monoshock. Sistem brek kemudiannya disempurnakan oleh brek cakera di bahagian depan dan juga belakang roda. Oleh kerana saiznya yang kompak, diameter rim roda hanya berukuran 12 inci sahaja dan berat 88 kg (curb weight).

Pada tahun 1994, Yamaha telah memperkenalkan TZM50R Telkor Edition dalam jumlah terhad, yang didatangkan dalam warna badan merah dan rim roda berwarna emas. Apa yang boleh dikatakan, pengalaman menunggang motosikal sporty bersaiz kecil seperti ini pastinya sesuatu yang menyeronokkan.