CFMOTO 300SR 2020 bakal masuk pasaran Vietnam

Dalam bulan Februari yang lepas, CFMOTO telah memperkenalkan dua model sportbike terbaharunya iaitu 250SR dan 300SR. Kedua-dua model tersebut mempunyai reka bentuk sporty yang sama, namun masing-masing dilengkapi kapasiti enjin yang berbeza. 250SR mempunyai enjin 249.2cc, manakala 300SR dilengkapi enjin 292.4cc.

Antara pasaran awal untuk CFMOTO 300SR ketika ini ialah Vietnam, apabila tempahan telah dibuka dan motosikal tersebut dijangka tiba ke pasaran negara itu pada bulan Ogos 2020 akan datang. Untuk pasaran Vietnam, 300SR akan boleh didapati dalam dua pilihan warna yang menarik, dikenali dengan nama Nebula Black dan Athen Blue.

Sama seperti 250SR, 300SR juga didatangkan dalam dua versi iaitu Standard Version dan High Version. Perbezaan antara kedua-dua versi untuk 300SR dijangkakan sama seperti 250SR, melibatkan jenis klac, sistem brek dan paparan panel instrumen. Bagi versi Standard Version, ianya dilengkapi klac jenis wet multi-plate, sistem brek CBS dan panel instrumen monochrome LCD. Untuk versi High Version pula, ianya didatangkan klac jenis slipper clutch, sistem brek ABS dan panel instrumen TFT.

CFMOTO 300SR dilengkapi enjin bersesaran 292.4cc (single-cylinder, liquid-cooled, DOHC, 4 valves) dengan sistem suntikan bahan api BOSCH EFI, manakala sistem transmisinya merupakan kotak gear enam kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai angka 29.2PS @ 8,750rpm dan tork 25.3Nm @ 7,250rpm. Sebagai perbandingan, 250SR mempunyai kuasa 27.5hp @ 9,750rpm dengan tork 22Nm @ 7,500rpm.

Ciri-ciri lain yang melengkapi 300SR termasuklah sistem lampu LED, fork depan jenis upside-down, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera di bahagian depan (292 mm single disc, opposite four-piston caliper) dan juga di bahagian belakang (220 mm single disc, single-piston floating caliper), rim aloi aluminium dengan tayar 110/70 R17 (depan) dan 140/60 R17 (belakang), ketinggian pelana 780 mm, berat 165 kg (curb weight) dan tangki bahan api dengan isian maksimum 12 liter.

CFMOTO 300SR model tahun 2020 ini dijangka tidak akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia, sebaliknya hanya model 250SR sahaja yang disebut-sebut akan dilancarkan tidak lama lagi. Sebagai maklumat tambahan, huruf SR pada model 300SR dan 250SR merupakan singkatan daripada perkataan Sport Racing.

(Visited 236 times, 1 visits today)