Skim warna baharu untuk MV Agusta Superveloce 800

Model superbike Neo-Retro yang diperkenalkan di EICMA 2019 pada penghujung tahun lepas, MV Agusta Superveloce 800, kini hadir dengan dua skim warna baharu yang boleh dikatakan lebih menarik berbanding skim warna yang diperkenalkan dahulu.

Menurut MV Agusta, perubahan yang dilakukan tersebut adalah selepas mendengar maklum balas daripada pengkritik terbesar mereka, tidak lain dan tidak bukan ialah para peminat tegar MV Agusta sendiri. Kedua-dua skim warna tersebut kini hadir dengan kemasan kerangka berwarna emas, yang turut mendominasi di bahagian rim roda.

Skim warna pertama menggunakan warna korporat klasik MV Agusta, merupakan gabungan di antara warna Ago Red dan Ago Silver, manakala warna kedua ialah Metallic Carbon Black dan Dark Metallic Matt Grey. Berkenaan harga yang ditawarkan, ianya bermula dari 19,990 Euro, bersamaan RM 93,602.14 mengikut kadar semasa.

MV Agusta Superveloce 800 model tahun 2020 ini memiliki enjin tiga silinder bersesaran 798cc, dengan hamburan kuasa maksimum 148hp @ 13,000rpm dan tork 88Nm @ 10,600rpm. Dengan berat kering hanya 173 kg, Superveloce 800 ini dikatakan mampu memecut pada kelajuan maksimum 240 km/j.

(Visited 113 times, 1 visits today)