Honda CT125 Hunter Cub diperkenalkan di pasaran Jepun

Dalam bulan Mac 2020 yang lepas, model terbaharu Honda CT125 Hunter Cub secara rasminya diperkenalkan untuk pasaran domestik Jepun. Model tersebut diasaskan daripada model Super Cub C125, tampil dengan rekaan baharu yang lebih ringkas dan padat, khusus untuk penggemar aktiviti riadah di kawasan luar bandar.

Menurut Honda, spesifikasi badan CT125 telah dioptimumkan untuk menempuh pelbagai situasi perjalanan yang mencabar, dan ini termasuklah peningkatan prestasi untuk fork depan, posisi muffler ekzos yang berada pada kedudukan lebih tinggi dan tambahan pelindung di bahagian bawah enjin. Sementara itu, sistem brek motosikal tersebut menggunakan brek jenis cakera di bahagian depan dan belakang.

Honda CT125 dilengkapi enjin empat lejang 124cc dengan sistem penyejuk udara, dengan keluaran kuasa maksimum 8.8 @7,000rpm dan tork 11Nm @ 4,500rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi empat kelajuan dengan klac automatik. Dua pilihan warna menarik yang ditawarkan ialah Glowing Red dan Matt Fresco Brown.

Antara ciri-ciri bersesuaian yang melengkapi CT125 Hunter Cub terbaharu ini termasuklah sistem brek ABS di bahagian roda depan, tangki bahan api maksimum 5.3 liter, jarak kelegaan bumi minimum 165 mm, rim roda jenis berjejari, sistem lampu LED jimat tenaga dan carrier belakang yang luas untuk muatan pelbagai barangan.

Tanda harga yang ditetapkan untuk Honda CT125 Hunter Cub 2020 ini mencapai angka 440,000 Yen, bersamaan RM 17,844.80 mengikut kadar tukaran mata wang semasa. Untuk pasaran Jepun, Honda menetapkan sasaran jualan sebanyak 8,000 unit setahun. Berdasarkan maklumat terdahulu, model ini akan berada di pasaran mulai bulan Jun.

(Visited 210 times, 1 visits today)