Yamaha MT-25 ABS 2020 berwajah baharu dilancarkan di pasaran Jepun

Yamaha MT-25 ABS model tahun 2020 kini hadir dengan beberapa perubahan baharu yang signifikan, menjadikan penampilan terkininya lebih sporty dan garang berbanding model tahun 2019. Antaranya termasuklah wajah depan yang kini dilengkapi lampu posisi LED jenis berkembar bersama-sama lampu utama LED yang ultra-kompak.

Di bahagian tangki minyak, penutupnya hadir dengan rekaan baharu bagaikan gaya motosikal besar, seterusnya menambahkan kelebaran di kiri dan kanan sehingga 51 mm. Suspensi depannya pula kini dipasangkan fork bersaiz 37 mm jenis terbalik yang menyokong tunggangan lebih sporty dan tangkas terutamanya di kawasan bandar.

Sementara itu, posisi bar hendal juga lebih tegak dan 44 mm lebih tinggi berbanding model konvensional, secara tidak langsung meningkatkan pengendaliannya menjadi lebih lincah dan mudah. Beralih ke bahagian meter LCD, ianya memberikan pelbagai informasi berguna seperti penggunaan purata bahan api, suhu air dan posisi gear.

Sebagai tambahan, lampu kecemasan yang diaktifkan melalui suis yang terdapat di sebelah kanan hendal, bersama-sama lampu pengelip LED kecil yang baru saja diperkenalkan di bahagian depan dan belakang, meningkatkan lagi kebolehgunaan dan tahap kualiti sehari-hari sepanjang tempoh menggunakan motosikal ini.

Yamaha MT-25 ABS 2020 masih mengekalkan enjin dua silinder sebaris 249cc (water-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) dengan padanan kotak gear enam kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum 35PS @ 12,000rpm dan tork 23Nm @ 10,000rpm. Berat motosikal ini ialah 169 kg dan hadir dengan isian tangki bahan api maksimum 14 liter.

Untuk pasaran domestik Jepun, Yamaha MT-25 ABS 2020 mula dijual sejak 28hb. Mac yang lalu, pada harga sebanyak 621,500 Yen (bersamaan RM 25,061.28 mengikut kadar semasa). Pilihan warna yang ditawarkan ialah Matte Light Gray, Blue dan Black. Model tersebut dipasang oleh PT. Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM).

(Visited 1,720 times, 1 visits today)