Benelli Leoncino 500 model tahun 2020

Benelli Leoncino 500 merupakan sebuah motosikal moden yang hadir dengan gaya scrambler bersama-sama reka bentuk retro dan kontemporari. Model tersebut dilengkapi enjin dua silinder sebaris bersesaran 500cc ( 4-stroke, liquid cooled, double overhead camshaft, 4 valves for cylinder) yang dipadankan transmisi enam kelajuan.

Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 47hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 46Nm @ 6,000rpm. Suspensi depannya menawarkan fork upside-down 45mm, yang digandingkan dengan kaliper brek empat piston yang mencengkam cakera berkembar 320mm. Pergerakan lengan ayun belakang dikawal oleh penyerap hentak tunggal dan pemberhentian dikendalikan oleh cakera brek 260mm dengan kaliper piston tunggal.

Sistem brek Benelli Leoncino 500 diperkemaskan dengan sistem ABS untuk ciri keselamatan yang lebih baik, manakala lampu projektor LED dan paparan instrumen digital menambahkan lagi kualitinya. Tunggangan yang stabil dan berprestasi pada setiap keadaan jalan raya seterusnya disumbangkan oleh rim aloi 17 inci bersama-sama tayar depan dan belakang dalam siri 120/70-ZR17 dan 160/60ZR17.

Berat Leoncino 500 berada pada tahap 207 kg, ketinggian tempat duduk penunggang pada paras 815 mm dan tangki bahan apinya mempunyai isian penuh 12.7 liter. Berdasarkan maklumat dari siaran akhbar Benelli, tiada sebarang perubahan untuk Leoncino 500 model tahun 2020 jika dibandingkan dengan model tahun sebelumnya. Namun pilihan warna yang ditawarkan kali ini ialah merah, perak, coklat dan hitam.

Untuk pasaran Malaysia, Benelli Leoncino 500 buat pertama kalinya dilancarkan dalam bulan Oktober 2017 melalui model tahun 2018. Harga yang ditawarkan oleh pengedarnya MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. ketika itu dalam lingkungan RM29k sahaja, boleh dikatakan begitu kompetetif. Kepada anda yang berminat untuk memilikinya, boleh hadir sendiri ke cawangan pengedar Benelli yang berdekatan.

(Visited 135 times, 1 visits today)