KTM RC 390 model tahun 2020 diperkenalkan

Untuk musim ini, KTM telah memperkenalkan model sport bike KTM RC 390 model tahun 2020 terbaharu, yang kini hadir dalam satu pilihan warna sahaja iaitu gabungan putih, hitam dan oren bersama-sama corak grafik terkini yang kelihatan begitu agresif.

KTM RC 390 2020 dikuasakan enjin bersesaran 373cc (1-cylinder, 4-stroke engine, Liquid cooled) dengan gandingan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 44hp @ 9,500rpm dan tork puncak 35Nm @ 7,250rpm.

Jentera sport bike yang sporty ini dilengkapi sistem suspensi depan jenis upside-down dan suspensi belakang jenis monoshock. Sistem brek depan dilengkapi cakera dengan diameter 320mm dan brek cakera belakang hadir dengan diameter 230mm. Sistem ABS Two Channel dari Bosch melengkapkan ciri keselamatan sistem brek tersebut.

Antara ciri-ciri menarik yang didatangkan bersama-sama KTM RC 390 ini termasuklah sistem Slipper Clutch, Ride-By-Wire, bar hendal jenis clip-on dengan profile perlumbaan, lampu depan berkembar yang berkuasa dengan rekaan moden dan instrumen LCD dengan paparan pelbagai informasi yang berguna.

Merujuk kepada maklumat di dalam laman sesawang KTM USA, harga yang ditawarkan untuk KTM RC 390 2020 adalah sebanyak 5,549.00 USD, bersamaan RM 24,049.37 mengikut kadar semasa. Untuk pasaran Malaysia, laman sesawang KTM Malaysia masih memaparkan model KTM RC 390 model tahun sebelumnya.

(Visited 98 times, 1 visits today)