Adakah Honda bakal hadir dengan jentera CBR250RR-R yang dilengkapi enjin 250cc empat silinder?

Sejak Kawasaki dengan rasminya memperkenalkan model terbaharu Ninja ZX-25R dengan enjin empat silinder, jentera Honda CBR250RR dengan enjin dua silinder secara tiba-tiba seolah-olah kehilangan magisnya di mata peminat dunia permotoran.

Padahal sebelum ini CBR250RR merupakan salah sebuah model sportbike 250cc yang menjadi idaman ramai, memandangkan ianya hadir dengan spesifikasi yang cukup mantap bersama-sama enjin paling berkuasa di dalam kelasnya. Namun benarlah, empat silinder lebih baik daripada dua silinder, berdasarkan kaca mata peminat.

Adakah Honda akan menyerah kalah dengan mudah? Mustahil. Honda mempunyai egonya yang tersendiri, serta mereka juga pernah mengeluarkan model 250cc empat silinder suatu ketika dahulu, misalnya model CBR250, CBR250R dan CBR250RR yang dikeluarkan sejak pertengahan 1980an sehingga pertengahan 1990an.

Jadi disinilah timbulnya spekulasi bahawa ketika Honda akan melancarkan CBR250RR 2020 terbaharu pada Julai akan datang, pada masa yang sama mereka juga dikatakan sedang bersiap sedia untuk membangunkan model terbaharu CBR250RR-R 250cc dengan enjin empat silinder. Sudah pasti untuk melawan habis-habisan Ninja ZX-25R.

Perkhabaran ini pada mulanya dicetuskan oleh majalah permotoran terkenal Young Machine, sama ada mereka mempunyai bukti atau pun tidak, ianya tidak lagi penting. Honda pastinya tidak akan berdiam diri sambil hanya berpeluk tubuh melihat jentera mereka akan dimalukan oleh Kawasaki. Juara MotoGP tidak akan mengalah.

Berdasarkan maklumat awal dari Young Machine, Honda CBR250RR-R dengan enjin 250cc empat silinder ini akan mengikut jejak langkah abangnya CBR1000RR-R, bermakna ianya akan mempunyai spesifikasi premium dan juga kuasa yang impresif. Namun persoalannya bilakah ianya akan menjengah pasaran?

Honda mungkin tidak akan tergesa-gesa melancarkan CBR250RR-R, namun dengan tekanan yang mungkin akan diberikan oleh Ninja ZX-25R seawal tahun depan, katakan jualan model tersebut menyebabkan CBR250RR terpinggir dari aspek prestasi jualan, pasti Honda tidak mempunyai pilihan selain mempercepatkan pembangunannya.

Sehingga itu, sama-sama kita tunggu informasi selanjutnya mengenai model terbaharu Honda CBR250RR-R dengan enjin 250cc empat silinder ini, dan mengharapkan spekulasi ini benar-benar akan menjadi kenyataan.

(Visited 933 times, 1 visits today)