BMW R 18 2020 diperkenalkan secara rasmi

BMW Motorrad baru-baru ini secara rasminya memperkenalkan model terbaharu keluarannya iaitu BMW R 18. Motosikal dalam segmen cruiser tersebut mengambil inspirasi daripada model legenda BMW R 5, sama ada dari segi teknikal atau rekaan.

BMW R 18 dilengkapi enjin terbaharu “Big Boxer” dua silinder yang berkuasa, dengan kapasiti enjinnya mencapai angka 1,802cc. Kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 91hp @ 4,750rpm dengan tork puncak 158Nm @ 3,000rpm. Menurut BMW, lebih daripada 150Nm tork sentiasa tersedia bermula dari 2,000 ke 4,000rpm.

BMW R 18 hadir dengan spesifikasi antaranya seperti sistem suspensi boleh laras elektronik, sistem brek cakera berkembar di bahagian depan dan brek cakera tunggal di bahagian belakang, bersama-sama kaliper tetap empat piston dan sistem lampu LED yang canggih. Sementara itu, rim roda jenis berjejari memastikan penampilannya kekal menarik dan bergaya.

Turut ditawarkan ialah tiga mod tunggangan standard iaitu “Rain”, “Roll” dan “Rock”, di samping teknologi ASC (Automatic Stability Control) yang memastikan keselamatan tunggangan berada pada paras tertinggi. MSR (engine drag torque control) juga merupakan ciri standard untuk R 18, manakala reverse assist dan Hill Start Control merupakan antara ciri-ciri yang tersedia sebagai pilihan.

BMW R 18 akan ditawarkan di pasaran seluruh dunia melalui model R 18 First Edition, dengan model standard khusus untuk pasaran tertentu. R 18 First Edition tampil dengan ciri-ciri eksklusif seperti kemasan hitam klasik dengan jalur cat putih, banyak permukaan berkrom, lencana tempat duduk dan lambang krom “First Edition” pada penutup sisi.

Merujuk kepada laman sesawang BMW Motorrad USA, harga yang ditawarkan untuk BMW R 18 bagi model standard bermula dari $17,495 (bersamaan RM 75,823.33 mengikut kadar semasa), manakala model First Edition mempunyai tanda harga sebanyak $19,870 (bersamaan RM 86,116.58 mengikut kadar semasa).

Galeri : 2020 BMW R 18 First Edition

Galeri : 1936 BMR R 5

(Visited 90 times, 1 visits today)