Benelli Leoncino 250 model tahun 2020

Untuk pasaran dalam segmen 250cc, Benelli telah memperkenalkan Leoncino 250, sebagai pilihan kepada model Leoncino 500. Model tersebut hadir sebagai sebuah model naked dengan gaya klasik yang menawan dan prestasi yang memuaskan.

Benelli Leoncino 250 kini telah sampai ke model tahun 2020 yang diperkenalkan pada penghujung tahun lepas, boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu kelabu, merah dan putih. Untuk pasaran Malaysia, Leoncino 250 2019 dilancarkan dalam bulan Ogos yang lepas, pada harga asas RM 13,888.00 (Standard) dan RM 14,688.00 (ABS).

Benelli Leoncino 250 2020 dilengkapi enjin 250cc satu silinder dengan sejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik, menghasilkan kuasa maksimum 25.8hp @ 9,250rpm dan tork 21Nm @ 8,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan.

Model tersebut menggunakan kerangka trellis dengan tiub keluli yang terpasang sempurna bersama-sama rekaan tangki minyak, seterusnya menawarkan permukaan yang seimbang dan dinamik, begitu juga dengan ekor belakang yang sangat padat.

Lampu depan LED tampil dengan rekaan moden dan elegan. Panel instrumen adalah digital dan dapat dilihat dengan jelas dalam semua keadaan. Sama seperti model lain di dalam rangkaiannya, Leoncino 250 menampilkan replika singa di atas mudguard depan dengan megahnya, memberi ingatan kepada sejarah lampau modelnya.

Beralih ke bahagian suspensi, Leoncino 250 dipasangkan fork depan upside-down dengan diameter 41mm, manakala di bahagian belakangnya terdapat suspensi monoshock dengan travel 51mm.

Sistem breknya dilengkapi cakera 280mm dengan angkup terapung empat piston di bahagian depan dan cakera 240mm dengan angkup terapung satu piston di belakang. Rim aloi aluminium 17 inci memakai tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 110/70 dan 150/60, memastikan keselamatan maksimum di jalan raya.

(Visited 274 times, 1 visits today)