Suzuki SV650X 2020 di pasaran UK, harga £6,599

Suzuki SV650X tampil sebagai sebuah model cafe racer, menjadikan penampilannya lebih bergaya jika dibandingkan dengan SV650. Untuk musim 2020 di pasaran UK, SV650X hanya boleh didapati dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Glass Sparkle Black, dan ditawarkan pada harga sebanyak £6,599 (bersamaan RM 35,922.31).

Sama seperti SV650, ianya dikuasakan enjin dalam sesaran 645cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC, 90°V-twin) dengan teknologi Fuel Injection, Dual Spark dan Low RPM Assist, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 76PS @ 8,500rpm dan tork puncak 64Nm @ 8,100rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan.

Beralih ke bahagian dimensi, SV650X mempunyai ukuran panjang 2,140mm, lebar 730mm, tinggi 1,090mm, jarak roda 1,445mm, jarak kelegaan bumi 135mm dan ketinggian tempat duduk penunggang 790mm. Beratnya mencapai angka 198 kg (kerb mass), manakala kapasiti penuh tangki bahan api adalah sebanyak 14.5 liter.

SV650X dilengkapi suspensi depan jenis teleskopik yang digandingkan dengan suspensi belakang monoshock, kedua-duanya hadir dengan ciri spring prabeban boleh laras. Aspek keselamatan disempurnakan oleh sistem brek ABS, terdiri daripada cakera berkembar 290mm di bahagian depan dan belakang dengan cakera tunggal 240mm.

Untuk pengendalian yang tepat dan stabil, kedua-dua roda depan dan belakang masing-masing memakai tayar tanpa tiub dalam siri 120/70ZR17 dan 160/60ZR17. Sistem ekzos canggih SV650X direka untuk menjadi kompak, ringan dan menghasilkan bunyi yang merdu, pada masa yang sama mematuhi piawaian emisi yang ketat.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Suzuki SV650X 2020 termasuklah sistem penghidup Suzuki Easy Start System, cowl lampu depan yang bergaya, bar hendal jenis clip on, rekaan kusyen bergaya retro, tangki bahan api dengan sentuhan klasik, lampu belakang berkembar LED dan panel instrumen dengan paparan pelbagai maklumat.

(Visited 168 times, 1 visits today)