Suzuki Raider J Crossover 2020 dilancarkan di pasaran Filipina

Pada pertengahan Februari yang lepas, Suzuki telah melancarkan sebuah model baharu untuk pasaran Filipina, dikenali dengan nama Suzuki Raider J Crossover 2020. Melihat kepada penampilan keseluruhannya, model kembara lasak tersebut dibangunkan daripada model kapcai Raider J115 Fi, juga dijual di pasaran Filipina.

Suzuki Raider J Crossover dilengkapi enjin berkapasiti 113cc (4-stroke, SOHC, 2-valve, 1-cylinder, Air-Cooled) dengan sistem suntikan bahan api, seterusnya dipadankan kotak gear empat kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai angka 6.8kW @ 7,500rpm dengan tork 9Nm @ 6,500rpm. Kapasiti penuh tangki bahan apinya ialah 4.0 liter.

Suzuki Raider J Crossover mempunyai berat 97 kg, ketinggian tempat duduk 775mm dan jarak kelegaan bumi 156mm. Suspensi depannya menggunakan fork teleskopik, manakala di bahagian belakang terdapat dua penyerap hentak dengan lengan ayun. Sistem brek cakera depan kemudiannya digandingkan dengan brek dram di belakang.

Tayar depan dan belakang untuk model berkenaan masing-masing didatangkan dalam saiz 70/90-17M/C 38 P dan 80/90-17M/C 44 P. Terdapat empat pilihan warna iaitu Kuning, Biru, Hitam dan Merah. Untuk pasaran Filipina, Suzuki Raider J Crossover dijual pada harga PHP 63,900, bersamaan RM 5,273.24 mengikut kadar semasa.

(Visited 292 times, 1 visits today)