Benelli TRK 502 X 2020 terima kemaskini baharu

Untuk musim 2020, model kembara yang tangkas dan lasak Benelli TRK 502 X kini telah menerima beberapa kemaskini baharu yang meningkatkan lagi pengendaliannya, keseronokan tunggangan dan penampilan keseluruhan.

Ianya bermula dengan kehadiran grafik baharu dan penggunaan plastik dengan tekstur baharu, diikuti oleh switchgear kini dengan ciri backlit, cermin pandang belakang rekaan baharu bersama-sama logo TRK, serta genggaman tangan juga adalah baharu.

Bar hendal yang dibentuk semula kini mempunyai ciri boleh laras bagi membolehkan pemilik mendapat posisi tunggangan terbaik, begitu juga dengan tuil klac yang juga boleh dilaraskan. Rak belakang baharu diperbuat daripada material aloi aluminium yang mempamerkan rekaan terkini yang lebih menarik dan ergonomik.

Tempat duduk juga disempurnakan melalui gaya rekaan baharu, kini lebih selesa dan luas, seterusnya menawarkan keselesaan maksimum kepada penunggang dan juga pembonceng. Semakan semula kemasan akhir juga melebihi standard kualiti terkini.

Benelli TRK 502 X dilengkapi enjin 500cc (In line 2 cylinders, 4-stroke, liquid cooled, 4 valves for cylinder double overhead camshaft) dengan kuasa maksimum 47.6hp (35kW) @ 8,500rpm dan tork 46Nm @ 6,000rpm, dan dipadankan kotak gear enam kelajuan.

Direka untuk memudahkan pengendalian di jalanan off-road, talaan suspensi TRK 502 X melibatkan fork depan upside-down dengan diameter 50mm dan travel 140mm, sementara di bahagian belakang ialah monoshock tengah (adjustable hydraulic rebound and compression damping and spring preload) dengan travel 62mm.

TRK 502 X juga mempunyai sistem ekzos yang bergaya pada posisi yang lebih tinggi berbanding versi TRK 502, untuk menangani permukaan jalan yang paling sukar dan tidak sekata tanpa sebarang halangan. Pelindung enjinnya didatangkan standard.

Sistem breknya yang berprestasi dan seimbang merupakan gandingan di antara cakera berkembar 320mm di bahagian depan (2-piston floating callipers) dengan cakera tunggal 260mm di bahagian belakang.

Rim aloi aluminium 19 inci dan 17 inci masing-masing dipasangkan tayar 110/80 dan 150/70, menjamin tahap keselamatan yang lebih baik walaupun dalam situasi yang paling sukar. Untuk perjalanan lebih jauh, kapasiti tangki bahan apinya ialah 20 liter.

Benelli TRK 502 X 2020 boleh didapati dalam empat pilihan warna seperti White, Red, Blue dan Anthracite Grey.

(Visited 660 times, 1 visits today)