Honda Forza 300 2020 versi Limited Edition diperkenalkan

Beberapa hari yang lepas, Honda Motor Europe Ltd. telah memperkenalkan Honda Forza 2020 terbaharu, yang didatangkan dengan warna Exclusive ‘Air Force’ Grey.

Menurut Honda, ianya merupakan model Limited Edition untuk musim 2020 yang ditawarkan bersama-sama empat pilihan warna terdahulu iaitu Crescent Blue Metallic, Pearl Nightstar Black, Matt Cynos Grey Metallic dan Matt Pearl Cool White.

Honda Forza 300 dilengkapi enjin 279cc (4 stroke, 4 valve liquid-cooled) dengan sistem PGM-FI, yang kemudiannya dipadankan transmisi jenis CVT. Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai 18.5kW @ 7,000rpm dengan tork puncak 27.2Nm @ 5,750rpm.

Skuter kelas pertengahan yang tampil sporty ini mempunyai tangki bahan api dengan isian penuh 11.5 liter, berat 182 kg (kerb weight), jarak roda 1,510mm, ketinggian tempat duduk penunggang 780mm dan jarak kelegaan bumi 135mm.

Suspensi Forza 300 di bahagian depan merupakan fork teleskopik, manakala di bahagian belakangnya ialah penyerap hentak berkembar (twin shock absorber). Sistem brek ABS yang dibekalkan dipadankan cakera depan 256mm dan belakang 240mm.

Untuk pengendalian yang terkawal, ianya dilengkapi tayar depan 120/70 dengan rim 15 inci, sementara di bahagian belakangnya ialah tayar 140/70 dengan rim 14 inci.

Antara kelebihan yang ditawarkan oleh Forza 300 ini termasuklah skrin elektrik boleh laras, instrumen panel pelbagai info, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem Smart Key yang memudahkan, dan teknologi HSTC (Honda Selectable Torque Control) boleh dihidupkan dan dimatikan melalui suis yang terletak di bar hendal sebelah kiri.

Selain itu, ruang storan di bawah kusyen boleh menempatkan sehingga dua buah helmet bermuka penuh, dan poket di bahagian kiri fairing boleh dikunci serta mempunyai ruang yang mencukupi untuk simpanan telefon atau botol air. Ruang tersebut juga telah tersedia soket pengecas 12V.

Sebagai tambahan dan pilihan, top box dengan keluasan 45 liter boleh dipasang pada Forza 300, dan ianya menawarkan kawalan menggunakan Smart Key.

Sebagai sebuah model Limited Edition, warna Exclusive ‘Air Force’ Grey yang ada padanya menonjol melalui gabungan skim warna kelabu dan hitam berkilat.

Meningkatkan lagi rasa premiumnya ialah jahitan benang berwarna merah di sekeliling tempat duduk yang sepadan dengan jalur merah pada rim, warna top box yang diselaraskan dan logo baharu Forza 300 yang tampil tersendiri.

(Visited 82 times, 1 visits today)