CFMOTO 250SR 2020 dilancarkan di pasaran China, pasaran Malaysia akan menyusul

CFMOTO baru-baru ini telah melancarkan model supersport terbaharunya CFMOTO 250SR 2020 untuk pasaran China, dalam dua varian iaitu Standard Version dan High  Version. Apa yang menariknya mengenai model ini ialah penampilannya yang sporty dengan full fairing, mirip model-model supersport keluaran jenama terkenal dari Jepun.

Untuk pasaran China, CFMOTO 250SR Standard Version ditawarkan pada harga 18,580 Yuan, bersamaan RM 11,154.80 mengikut kadar semasa, manakala untuk model High Version pula, harga yang ditawarkan adalah sebanyak 21,680 Yuan, bersamaan RM 13,015.94 mengikut kadar semasa.

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang CFMOTO China, terdapat tiga perbezaan di antara versi Standard dan High, melibatkan jenis klac, sistem brek dan paparan panel instrumen. Bagi versi Standard, ianya dilengkapi klac jenis wet multi-plate, sistem brek CBS dan panel instrumen monochrome LCD. Untuk versi High pula, ianya didatangkan klac jenis slipper clutch, sistem brek ABS dan panel instrumen TFT.

Beralih ke bahagian enjin, CFMOTO 250SR dilengkapi enjin bersesaran 249.2cc (single-cylinder, liquid-cooled, DOHC, 4 valve, BOSCH EFI) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 27.5hp @ 9,750rpm dengan tork puncak 22Nm @ 7,500rpm. Enjin yang mematuhi piawaian EURO4 itu dikatakan mampu melakukan pecutan maksimum sehingga 128 km/j.

Dari segi dimensi, CFMOTO 250SR mempunyai ukuran panjang x lebar x tinggi bersamaan 2010 × 750 × 1,080mm, sementara jarak rodanya ialah 1,360mm. Ketinggian tempat duduk penunggang pula berada pada paras 780mm dan jarak kelegaan bumi ialah 135mm. Bagi versi High, beratnya ialah 165 kg (curb weight), namun tiada pula maklumat berkenaan berat untuk versi Standard. Kedua-dua versi motosikal tersebut dilengkapi tangki bahan api dengan isian maksimum 12 liter.

Sistem suspensi CFMOTO 250SR merupakan gabungan di antara suspensi telescopic upside down di bahagian depan dengan suspensi monoshock di bahagian belakang. Sistem brek depan menggunakan cakera tunggal dengan diameter 292mm (opposite four-piston caliper), manakala cakera tunggal belakang mempunyai diameter 220mm (single-piston floating caliper).

Beralih ke bahagian roda, rim aloi aluminium 17 inci dipadankan tayar depan 110/70 R17 dan belakang dengan tayar 140/60 R17. Tidak dilupakan ialah sistem lampu CFMOTO 250SR merupakan LED sepenuhnya, bukan saja untuk daya penglihatan yang lebih jelas malah menambah nilai estetika jentera bergaya perlumbaan itu.

Menurut maklumat dari KTNS CFMOTO Malaysia pada dua hari yang lepas, CFMOTO 250SR ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia, dengan jangkaan pelancarannya dalam bulan Mei 2020. Dengan penampilan yang sporty dan harga yang berpatutan, tidak mustahil ianya akan menarik perhatian ramai peminat motosikal tempatan.

(Visited 3,948 times, 1 visits today)