Suzuki SV650 2020 di pasaran UK, harga £5,999

Suzuki SV650 model tahun 2020 dikuasakan enjin bersesaran 645cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC V-Twin) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Enjin dalam konfigurasi V-Twin itu menghasilkan prestasi maksimum yang cukup bertenaga pada paras 76PS @ 8,500rpm bersama-sama tork puncak 64Nm @ 8,100rpm.

Suzuki SV650 mempunyai berat 198 kg (kerb mass), ketinggian tempat duduk 785 mm, jarak roda 1,445 mm, jarak kelegaan bumi 135 mm dan tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 14.5 liter. Sistem brek depannya terdiri daripada cakera berkembar yang digandingkan dengan cakera tunggal di bahagian brek belakang. Dengan ABS, sistem brek itu menawarkan prestasi yang lebih selamat dan terkawal.

Sistem suspensi SV650 memastikan prestasi pengendalian yang konsisten dan sporty. Di bahagian depannya ialah fork teleskopik 41 mm dengan travel 125 mm, sementara di bahagian belakangnya merupakan suspensi link-type dengan stroke 63 mm. Suspensi itu hadir dengan ciri pra-beban boleh laras dengan tujuh tetapan yang ditawarkan.

Untuk kestabilan dan kawalan mantap ketika tunggangan agresif di jalan raya, rim roda 17 incinya memakai tayar tanpa tiub dalam siri 120/70ZR17M/C (58W) untuk bahagian depan, manakala bahagian belakang dipasangkan tayar dalam siri 160/60ZR17M/C (69W). Sistem ekzos SV650 yang kompak dan ringan pula menyumbang kepada penghantaran kuasa cemerlang, di samping menghasilkan bunyi yang merdu.

Pilihan warna yang boleh didapati ialah Metallic Silver, Metallic Matt Black No.2 dan Glass Sparkle Black. Suzuki SV650 2020 di pasaran UK ditawarkan pada harga £5,999, bersamaan RM 32,079.74 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk pasaran Malaysia, SV650 juga ditawarkan oleh pengedarnya Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd..

(Visited 483 times, 1 visits today)