Yamaha Tricity 300 2020 diperkenalkan sebagai komuter terbaik di kawasan bandar

Sebagai salah satu jenama yang menjadi peneraju utama dalam dunia Mobiliti Bandar, Yamaha baru-baru ini telah memperkenalkan model Leaning Multi-Wheel (LMW) terbaharu Yamaha Tricity 300 untuk musim 2020. Ianya merupakan lanjutan daripada model Tricity 125 yang diperkenalkan pada 2014 dan Yamaha NIKEN pada 2018.

Yamaha Tricity 300 mempunyai penampilan yang moden dan dinamik, hadir dengan rekaan tiga roda yang memberikan kestabilan tambahan yang lebih baik. Model tersebut dilengkapi enjin BLUE CORE berkapasiti 292cc (Single cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valves) dengan janaan kuasa maksimum 20.6kW @ 7,250rpm dan tork 29.0Nm @ 5,750rpm. Sistem transmisinya ialah V-Belt Automatic.

Menurut Yamaha, Tricity 300 menawarkan kemasan premium yang berkualiti, enjin yang berkuasa dan ekonomi, dengan keselesaan, kawalan dan kemudahan maksimum di bandar. Ianya dikatakan mempunyai berat paling ringan di dalam kelasnya, tangkas dan mudah dikendalikan, serta mudah diletakkan di kawasan parking. Ruang storannya juga luas dan praktikal, boleh memuatkan sehingga dua helmet bermuka penuh.

Selain itu, Yamaha Tricity 300 turut didatangkan bersama-sama sistem lampu LED, paparan instrumen LCD pelbagai info, operasi Smart Key yang menyenangkan, sistem brek ABS yang digandingkan dengan Unified Brake System, TCS (Traction Control System), dan juga sistem Standing Assist yang membantu Tricity 300 kekal tegak di tempatnya, terutamanya ketika berhenti di lampu isyarat atau persimpangan.

Untuk pasaran Eropah, Yamaha Tricity 300 model tahun 2020 ini boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik seperti Nimbus Grey, Tech Kamo dan Gunmetal Grey.

(Visited 146 times, 1 visits today)