Rangkaian model Yamaha Tricity untuk pasaran Eropah bermula dengan model Tricity 125, dan kemudiannya diikuti oleh model Tricity 155 dan Tricity 300. Bagi model Tricity 155 model tahun 2020, terdapat beberapa perbezaan sahaja jika dibandingkan dengan model Tricity 125 2020, antaranya melibatkan kapasiti enjin dan sistem brek.
Yamaha Tricity 155 dilengkapi enjin 155cc (single cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, SOHC, 4-valves) dengan transmisi V-Belt Automatic, menghasilkan kuasa maksimum 11.1kW @ 8,000rpm dan tork 14.4 Nm @ 6,000rpm. Menurut Yamaha, Tricity 155 bukan saja sesuai untuk kegunaan bandar, malah ideal untuk tunggangan di lebuh raya.
Sistem brek Yamaha Tricity 155 terdiri daripada cakera 220mm di bahagian depan dan 230mm di bahagian belakang, dengan gabungan ABS dan Unified Brake System yang memberikan prestasi pemberhentian yang lebih baik dan lebih lancar. Pilihan warna yang ditawarkan sama seperti Tricity 125 iaitu Nimbus Grey, Matt Grey dan Milky White.