Untuk pasaran UK, Yamaha Tricity 125 model tahun 2020 telah diperkenalkan pada penghujung tahun lepas, dengan tiga pilihan warna seperti Nimbus Grey, Matt Grey dan Milky White. Harga yang ditawarkan bermula dari £4,024.00, bersamaan RM 21,849.96 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
Yamaha Tricity 125 merupakan sebuah model skuter dengan teknologi Leaning Multi Wheel (LMW) yang eksklusif daripada Yamaha, tampil unik dengan dua roda di bahagian hadapannya. Kompak, ringan dan mudah dikendalikan, skuter tiga roda tersebut dikatakan memiliki kestabilan yang lebih baik berbanding skuter dua roda.
Kelebihan lain yang ada pada Yamaha Tricity 125 termasuklah rekaannya yang bergaya, moden dan sesuai sebagai kenderaan pengangkutan bandar, tempat duduk dan posisi tunggangan yang selesa, dilengkapi lampu utama LED yang berkuasa dan cekap, serta ruang storan yang mencukupi untuk kemudahan peribadi.
Beralih ke bahagian teknikal, Yamaha Tricity 125 memiliki enjin Blue Core 125cc (single cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, SOHC, 4-valves) yang mematuhi piawaian EU4, dengan janaan kuasa mencapai angka 9.0kW @ 7,500rpm dan tork 11.7Nm @ 7,250rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi V-Belt Automatic.
Sistem brek untuk Yamaha Tricity 125 terdiri daripada dua brek cakera dengan diameter 220mm di bahagian depan, manakala di bahagian belakang ialah brek cakera tunggal berdiameter 230mm. Dibantu oleh teknologi Unified Brake System (UBS), sistem brek tersebut menawarkan pemberhentian yang mantap dan berkesan.
Di bahagian roda, Yamaha Tricity 125 dilengkapi tayar depan dalam siri 90/80-14 dan tayar belakang dengan siri 130/70-13. Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 780mm, dengan jarak kelegaan bumi minimum 125mm. Tangki bahan apinya mampu mengisi sehingga 7.2 liter petrol maksimum, manakala berat basahnya hanya 164 kg.