Untuk penunggang yang mahukan sebuah jentera Sport Tourer premium dengan tambahan ciri-ciri eksklusif, Yamaha Tracer 900 GT model tahun 2020 antara pilihan terbaik yang ada di pasaran ketika ini. Ianya merupakan varian teratas selepas model Yamaha Tracer 900 2020, khusus untuk sesi pengembaraan pada tahap tertinggi.
Sebagai sebuah model touring berprestasi tinggi, Yamaha Tracer 900 GT memiliki enjin bersesaran 847cc (3-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves) yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghamburkan kuasa maksimum 115PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 87.5Nm @ 8,500rpm.
Dengan tangki bahan api yang mampu mengisi sehingga 18 liter petrol maksimum, perjalanan jauh bukan lagi suatu masalah. Tahap keselesaan maksimum sewaktu tunggangan juga dipertingkatkan melalui kehadiran sistem cruise control, heated grips, Quick Shifter, Assist & Slipper clutch, D-MODE, TCS, ABS dan tidak dilupakan ialah sistem suspensi boleh laras sepenuhnya.
Panel instrumen TFT berwarna sepenuhnya memberikan pelbagai informasi berguna kepada penunggang, manakala hard side cases dengan keluasan 22 liter yang sedia terpasang memberi lebih kemudahan di samping gayanya yang trendy. Tracer 900 GT juga menawarkan tahap ergonomik dan perlindungan angin yang baik, seterusnya memberikan keselesaan bertaraf tinggi kepada penunggang dan juga pembonceng.
Bagi musim 2020, Yamaha Tracer 900 GT boleh didapati dalam tiga pilihan warna seperti Tech Black, Phantom Blue dan Icon Black. Harga yang ditawarkan di pasaran UK bermula dari £11,195.00, bersamaan RM 61,483.51 mengikut kadar semasa.