MV Agusta Superveloce 800 Serie Oro 2020

Jentera superbike bergaya retro perlumbaan, MV Agusta Superveloce 800 2020, diperkenalkan di EICMA 2019 yang berlangsung di Milan, Itali pada November lepas. Bersama-sama model tersebut ialah varian lebih menarik iaitu MV Agusta Superveloce 800 Serie Oro, yang tampil dengan beberapa perbezaan premium dan unik.

Sama seperti Superveloce 800, varian Serie Oro dikuasakan enjin 798cc (three cylinder, 4 stroke, 12 valve) yang menghasilkan prestasi maksimum 148hp @ 13,000rpm dengan tork 88Nm @ 10,600rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan keupayaannya memecut sehingga 240 km/j. Menurut MV Agusta, motosikal ini tetap menawarkan ciri tunggangan yang sesuai untuk tunggangan harian dan normal.

Antara perbezaan melibatkan kedua-dua model, Superveloce 800 Serie Oro dilengkapi fairing daripada material carbon fibre, sistem ekzos Arrow, rekaan rim yang unik, termasuklah perbezaan di bahagian penutup tangki bahan api. Untuk pasaran Eropah, Superveloce 800 Serie Oro 2020 dijual pada harga bermula dari 27,990 Euro.