Honda SH125i 2020 diperkenalkan untuk pasaran Eropah

Dalam bulan November 2019 yang lepas, Honda SH125i 2020 serba baharu telah diperkenalkan untuk pasaran Eropah. Menurut Honda, model berkenaan merupakan salah sebuah skuter paling popular di rantau tersebut dan menjadi peneraju pasaran dalam tahun 2018, dengan mencatatkan jualan hampir sebanyak 19,000 unit.

Hadir dengan rekaan badan yang digayakan semula dan kerangka yang dikemaskini, Honda SH125i kini menawarkan lebih 50% ruang storan bersama-sama ciri tunggangan yang lebih selesa. Enjin empat injap baharu menawarkan prestasi pecutan yang lebih pantas, pada masa yang sama memberikan pulangan ekonomi bahan api yang lebih tinggi. Ianya juga telah mematuhi piawaian EURO5 dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) kini merupakan ciri yang dipasangkan standard.

Pilihan warna yang ditawarkan pula merangkumi warna Pearl Splendor Red, Pearl Nightstar Black, Pearl Cool White dan Timeless Gray Metallic. Honda SH125i model tahun 2020 ini dikeluarkan daripada kilang Honda di Itali dan tersedia dalam lima pilihan konfigurasi seperti berikut :

  • Standard SH125i without accessories
  • SH125i with Smart top box
  • SH125i with Smart top box, knuckle guards and windscreen
  • SH125i with standard top box
  • SH125i with standard top box, knuckle guards and windscreen.

Tampil dengan gaya moden dan kontemporari, Honda SH125i dilengkapi ciri-ciri menarik antaranya seperti sistem lampu LED sepenuhnya, paparan instrumen LCD, ruang simpanan barang-barang di bawah kusyen dengan kapasiti keseluruhan 28 liter, pengecas USB, Smart Key, sistem brek ABS dengan brek cakera depan dan belakang, suspensi belakang dengan ciri 5-step preload adjustment dan tangki bahan api 7 liter.

Untuk kawalan dan kestabilan yang lebih baik di atas permukaan jalan raya yang pelbagai, Honda SH125i dilengkapi tayar tanpa tiub Michelin City Grip bersaiz 100/80-16 di bahagian depan dan 120/80-16 di bahagian belakang, yang dipasangkan pada rim roda die-cast aluminium berdiameter 16 inci yang ringan. Jarak roda berukuran 1,350mm, manakala ketinggian tempat duduk 799mm dan berat basah ialah 133.9 kg.

Honda SH125i dilengkapi enjin bersesaran 125cc (Liquid-cooled, 4-stroke SOHC, PGM-FI electronic fuel injection) yang menghasilkan prestasi maksimum 9.6kW (12.9hp) @ 8,250rpm dengan tork puncak 12Nm @ 6,500rpm. Tahap ekonomi bahan api (without Idling Stop activated) bermula dari 43.3km/l sehingga 45.7km/l (WMTC mode).

Di pasaran Itali, Honda menawarkan SH150i yang mempunyai enjin lebih besar dengan kapasiti 156.9cc. Ianya dikatakan menjadi antara pilihan popular di pasaran negara tersebut dengan catatan jualan hampir 11,500 unit dalam tahun 2018.