Agak menarik apabila kita melihat perkembangan kerjasama di antara Modenas dan Kawasaki sejak kebelakangan ini. Antaranya ialah Modenas dikatakan bakal memasang model-model keluaran Kawasaki, dipercayai model-model dengan enjin di bawah 250cc, seterusnya menjadi pengedar eksklusif Kawasaki untuk pasaran Malaysia.
Setakat ini masih tiada pengumuman rasmi oleh Modenas mahu pun Kawasaki, walaupun berita berkenaan perkara tersebut bukan lagi rahsia di kalangan wartawan dan blogger permotoran tanah air. Mungkin kedua-dua syarikat tersebut masih menunggu masa yang sesuai untuk merungkai segala persoalan tidak lama lagi.
VLOG: MODENAS NINJA 250 SE ABS
Tu diaaaa MODENAS Ninja 250. Yaaaaaa Modenas la ni pasang Kawasaki Ninja dan harga dia harapnya lebih mampu milik!!!
Posted by Careta on Khamis, 20 Februari 2020
Bagaimanapun laporan terbaru dari rakan blogger Careta.my hari ini telah pun menjawab sedikit sebanyak persoalan mengenai kerjasama di antara Modenas dan Kawasaki, apabila model pertama Kawasaki yang dipasang oleh Modenas telah dipertontonkan secara rasmi, anda boleh melihatnya dalam video di atas.
Model tersebut ialah Modenas Ninja 250 SE ABS, yang mana model tersebut sebenarnya ialah model Kawasaki Ninja 250 SE ABS, namun telah dijenamakan semula oleh Modenas. Agak menghairankan kerana sebelum ini Modenas dikatakan hanya akan memasang sahaja model-model Kawasaki, bukan menjenamakannya semula menggunakan jenama Modenas.
Agak pelik sebenarnya untuk kita melihat model-model keluaran Kawasaki diberikan nama Modenas, namun model-model terdahulu seperti Modenas Kriss, Modenas Dinamik dan Modenas Jaguh misalnya, kesemuanya adalah model-model keluaran Kawasaki yang dikeluarkan dan dijenamakan semula menggunakan jenama Modenas.
Dengan pengenalan Modenas Ninja 250 SE ABS tersebut, ini bermakna kerjasama di antara Modenas dan Kawasaki telah pun bermula dengan lancar. Cuma apa yang menjadi persoalah ialah setakat manakah penerimaan peminat-peminat motosikal tempatan terhadap model-model Kawasaki yang diberikan nama Modenas.