Benelli Tornado Naked T 125 2020 kompak dan tangkas

Pada penghujung tahun lepas, Benelli memperkenalkan model ‘mini fun bike’ Tornado Naked T 125 model tahun 2020 terbaharu, yang kini hadir dengan rekaan grafik dan warna baharu yang lebih memikat pasaran di kalangan golongan muda. Model tersebut kekal kompak dan tangkas serta menawarkan tunggangan yang menyeronokkan.

Enjin yang menjana Benelli Tornado Naked T 125 bersesaran 125cc (single cylinder, 4 stroke, air cooled 4 valves, twin spark) dengan padanan kotak gear lima kelajuan, seterusnya menghasilkan prestasi maksimum 11.1hp @ 9,500rpm dengan tork 10Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut dikatakan menawarkan tahap kecekapan bahan api maksimum dalam semua keadaan dan jenis tunggangan.

Menampilkan rim roda 12 inci dengan tayar 120/70 dan 130/70, bermakna ketangkasan dan kestabilannya sentiasa hebat ketika berada di atas jalan raya. Sistem penyerap hentak Benelli Tornado Naked T 125 terdiri daripada jenis USD di bahagian depan dengan fork 35mm, manakala lengan ayun digandingkan dengan penyerap hentak sisi.

Sistem pemberhentian dijamin menawarkan prestasi maksimum, apabila didatangkan dengan brek cakera depan 210mm dan brek cakera belakang 190mm dengan CBS. Kapasiti tangki petrol ialah 7.2 liter dan berat motosikal 124 kg. Benelli Tornado Naked T 125 2020 boleh didapati dalam pilihan warna Putih, Merah, Hitam dan Hijau.

(Visited 232 times, 1 visits today)