Kawasaki Ninja 1000SX 2020 terima kemaskini baharu

Kawasaki Ninja 1000SX kini diperkenalkan untuk model tahun 2020, menawarkan emisi yang lebih bersih dengan prestasi hebat yang sama, lebih sporty, gaya yang lebih dinamik dan keupayaan untuk dua dunia sama ada Sport atau Touring.

Antara perubahan baharu yang dilakukan termasuklah tempat duduk lebih selesa untuk penunggang dan penumpang, debut Electronic Cruise Control, Quick Shifter, Riding Mode yang diintergrasikan dengan KTRC dan Power Mode dan panel instrumen TFT berwarna digital berukuran 10.9cm dengan kemudahan sambungan telefon pintar.

Ninja 1000SX 2020 juga didatangkan dengan sistem lampu LED sepenuhnya termasuk lampu depan dan belakang, lampu nombor plat dan lambu belok, manakala cengkaman roda kini disempurnakan melalui tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22.

Ciri-ciri lain yang melengkapi jentera Sport Tourer ini ialah cermin penghadang angin boleh laras yang direka semula, dua peredam bunyi berkembar kini menjadi satu di bahagian sebelah kanan sahaja, boleh didapati dalam tiga pilihan skim warna, berat (curb mass) 235 kg dan tangki bahan api dengan isian maksimum 19 liter.

Untuk kuasa dan prestasi tunggangan, Kawasaki Ninja 1000SX 2020 memiliki enjin bersesaran 1,043cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) yang mampu menjana sehingga 142PS @ 10,000rpm dengan tork maksimum 111Nm @ 8,000rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Menurut Kawasaki, sama ada Sport atau Tour, Ninja 1000SX musim baru kini lebih menonjol, lebih dinamik dan lebih diingini dan menawarkan yang terbaik untuk kedua-dua dunia, atau dalam bahasa Inggerisnya ialah ‘The Best of Both Worlds’.