Kawasaki Ninja 650 terima naik taraf untuk musim 2020

Kawasaki Ninja 650 meupakan sebuah model supersport kelas pertengahan dengan respon enjin yang memuaskan, yang kemudiannya digabungkan bersama-sama ciri tunggangan yang mudah dan menyeronokkan. Untuk musim 2020, model tersebut kini hadir dengan beberapa naik taraf dan kemaskini baharu yang lebih menarik.

Antara ciri-ciri baharu yang melengkapi Ninja 650 ialah panel meter TFT berwarna berukuran 10.9 cm, dengan paparan pelbagai fungsi seperti penunjuk posisi gear, lampu shift, tolok bahan api dan Economical Riding Indicator, termasuklah sambungan Bluetooth untuk telefon pintar. Lampu LED di bahagian depan dan belakang serta penggunaan tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2 kini merupakan ciri standard.

Kawasaki Ninja 650 2020 hadir dengan enjin 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) yang menjana sehingga 68PS @ 8,000rpm dan tork maksimum 64Nm @ 6,700rpm. Enjin tersebut dipadankan sistem transmisi enam kelajuan. Berat Ninja 650 ialah 193 kg, manakala tangki bahan apinya boleh diisi maksimum 15 liter.

Teknologi yang melengkapi model tersebut pula adalah seperti sistem brek ABS (Anti-lock Brake System), Horizontal Back-link Rear Suspension, Assist & Slipper Clutch dan Dual Throttle Valves yang menawarkan peningkatan kuasa enjin. Pilihan warna yang boleh didapati adalah tiga kesemuanya iaitu KRT Edition (Lime Green / Ebony), Metallic Spark Black dan Pearl Flat Stardust White / Metallic Flat Spark Black.