Benelli 752 S model tahun 2020

Salah sebuah model keluaran Benelli yang boleh dikatakan antara tercantik dan sporty ialah Benelli 752 S. Model naked ini hadir dengan enjin dua silinder sejukan cecair bersesaran 754cc, yang kemudiannya dipadankan kotak gear enam kelajuan. Janaan kuasa yang terhasil mencapai 76.2hp @ 8,500rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm.

Bagi menjamin kestabilan maksimum sewaktu tunggangan, 752 S dilengkapi fork depan Marzocchi jenis terbalik (upside-down) dengan diameter 50mm, manakala ukuran travel suspensi depan keseluruhan ialah 130 mm. Di bahagian belakang, lengan ayun digandingkan bersama-sama monoshock yang boleh dilaras dengan travel 60 mm.

Perhatian kepada ciri keselamatan disempurnakan oleh sistem brek Brembo dengan dua cakera berkembar separuh terapung 320 mm dan kaliper empat piston, dan cakera 260 mm di bahagian roda belakang dengan kaliper terapung dua piston. Rim aloi aluminium 17 inci dipasangkan tayar 120/70-17 dan 180/55-17, manakala berat 752 S berada pada paras 226 kg. Kapasiti maksimum tangki bahan api ialah 14.5 liter.

Untuk model tahun 2020, Benelli 752 S didatangkan empat pilihan warna menarik iaitu Hijau, Merah, Hitam dan Putih. Sebelum ini dalam tahun 2018, dikhabarkan 752 S akan dilancarkan di pasaran Malaysia, namun setakat ini masih belum menjadi kenyataan. Diharapkan model ini kekal dalam perancangan Benelli Malaysia untuk dilancarkan.