Pada awal November 2019 yang lalu, Kawasaki telah memperkenalkan model naked Z900 yang kini telah menerima beberapa kemaskini terbaharu untuk musim jualan tahun 2020. Antaranya termasuklah ciri Riding Modes bersepadu yang menggabungkan sistem KTRC dan Power Mode yang merupakan ciri tambahan terbaharu.
Kemaskini lain adalah seperti paparan skrin instrumen TFT berwarna baharu, sistem penyambungan Bluetooth untuk telefon pintar, sistem lampu LED sepenuhnya dan sistem ekzos dengan ciri pengeluaran emisi yang lebih bersih. Untuk pasaran Eropah, Z900 model tahun 2020 ditawarkan dalam dua versi iaitu versi berkuasa penuh 125PS (92.2kW) dan versi untuk lesen A2 yang menawarkan kuasa 95PS (70kW).
Kedua-dua versi Z900 tersebut (kuasa penuh dan A2) didatangkan dengan empat pilihan warna yang sama untuk tahun 2020, seperti Metallic Graphite Gray / Metallic Spark Black, Candy Lime Green / Metallic Spark Black, Metallic Spark Black / Metallic Flat Spark Black dan Pearl Blizzard White / Metallic Spark Black.
Dari segi spesifikasi teknikal untuk model naked berprestasi dan agresif ini, Z900 dikuasakan enjin 948cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) yang menghamburkan kuasa maksimum 125PS @ 9,500rpm dengan tork setinggi 98.6Nm @ 7,700rpm, seterusnya digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan. Berat jentera ini ialah 212 kg (curb mass), manakala tangki bahan api maksimumnya ialah 17 liter.