Honda CBR1000RR-R Fireblade 2020, harga £19,999 di pasaran UK

Model supersport premium Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2020 baru saja dilancarkan di pasaran Malaysia pada pertengahan Januari yang lepas, pada harga asas RM 198,800.00. Harga tersebut mungkin sedikit tinggi, namun Honda turut mengeluarkan CBR1000RR-R Fireblade 2020 versi standard pada harga lebih rendah.

Bagaimanapun buat masa ini untuk pasaran tempatan, Boon Siew Honda tidak menawarkan CBR1000RR-R Fireblade, sebaliknya antara pasaran luar negara yang menawarkan model tersebut ialah pasaran UK. Melihat kepada paparan di dalam laman sesawang Honda UK, harga untuk model tersebut ialah £19,999, bersamaan RM 107,087.66 mengikut kadar semasa. Bagi versi SP pula, harga di pasaran UK mencecah £23,499, bersamaan dengan RM 125,828.93, jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan harga yang ditetapkan untuk pasaran Malaysia.

Untuk anda yang bertanyakan apa perbezaan di antara versi standard dan SP bagi model CBR1000RR-R 2020 terbaharu ini, jawapannya ialah versi SP dilengkapi dengan sistem suspensi premium daripada Öhlins dan sistem brek premium daripada Brembo. Ini berbeza dengan versi standard yang didatangkan sistem suspensi daripada jenama Showa dan sistem brek daripada Nissin. Perbezaan kecil lain melibatkan kapasiti bateri, manakala berat untuk model standard ialah 202.1 kg dan 201.3kg untuk versi SP.

Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin pula adalah sama, berada pada paras maksimum 160kW (217.5 PS) @ 14,500rpm dengan tork 113Nm @ 12,500rpm. Menurut Honda, pembangunan CBR1000RR-R banyak diinspirasikan daripada jentera MotoGP RC213V dan model jalanan RC213V-S, jadi tidak hairanlah ianya dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh Honda.

Di bahagian ekzos, kedua-dua model CBR1000RR-R Fireblade dan CBR1000RR-R Fireblade SP dilengkapi dengan sistem ekzos daripada Akrapovic yang diperbuat daripada material titanium yang sangat ringan. Dari segi pemilihan warna, kedua-dua model boleh didapati dalam dua skim warna iaitu Grand Prix Red yang diinspirasikan daripada divisyen perlumbaan HRC, dan warna gelap Matte Pearl Black.

(Visited 312 times, 1 visits today)