Benelli 502 C model tahun 2020

Salah sebuah model motosikal keluaran Benelli bagi tahun 2020, 502 C ialah antara model yang tampil dengan rekaan unik dan seringkali mendapat perhatian ramai ketika di jalanan. Tentu ada yang tersalah anggap bahawa model ini ialah Ducati Diavel memandangkan reka bentuk yang hampir sama di antara kedua-duanya.

Benelli 502 C model tahun 2020 kini didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Hitam, Merah dan Biru, bagaimanapun berdasarkan gambar-gambar dalam galeri di bawah, warna Merah tersebut kelihatan lebih mirip kepada warna Tembaga (Copper). Menurut Benelli, 502 C ialah sebuah model Urban Cruiser dengan ciri tunggangan yang selesa.

Ianya memiliki tempat pemijak yang dianjak ke hadapan seperti mana tradisi motosikal kustom, tempat duduk yang selesa dan luas dengan ketinggian 750 mm daripada tanah, dan pemasangan lampu LED dengan rekaan asli dan tersendiri. Sama seperti rangkaian model lain seperti Leoncino dan TRK, 502 C dilengkapi enjin 500cc (in-line four-stroke twin cylinder, liquid cooled, four valves per cylinder) yang telah terbukti.

Menurut Benelli, enjin tersebut menawarkan penghantaran kuasa yang lancar dan sangat menyenangkan untuk penggunaan bahan api yang optimum. Kuasa maksimumnya ialah 47.6hp (35kW) @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 46Nm @ 6,000rpm. Ianya juga dilengkapi klac berbilang basah, kotak gear enam kelajuan dan sistem suntikan elektronik dengan double throttle body berukuran 37 mm.

Untuk anda yang berminat memiliki Benelli 502 C, berita baiknya ialah model ini telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia dalam bulan September 2019 yang lalu, namun pilihan warna mungkin berbeza dengan model tahun 2020 ini. Harga asas Benelli 502 C di pasaran tempatan ketika ini adalah sebanyak RM 31,588.00.