Aprilia Tuono 660 Concept diperkenalkan di EICMA 2019, versi naked untuk RS 660

Model terbaharu Aprilia RS 660 merupakan sebuah jentera supersport dengan kelengkapan fairing yang bergaya dan sporty, diperkenalkan secara rasmi di EICMA 2019. Bagaimanapun untuk melengkapkan kehadiran model yang mendapat pujian ramai itu, Aprilia mempersembahkan pula Tuono 660 Concept.

Sebagai sebuah model yang membawakan nama Tuono, model konsep tersebut hadir dengan gaya sebuah motosikal naked dan bakal memberikan pengalaman tunggangan yang lincah dan lebih menyeronokkan. Walaupun masih berstatus konsep, Tuono 660 versi pengeluaran dijangka akan diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi.

Berdasarkan tradisi dan sejarah Aprilia, versi naked atau versi jalanan sentiasa dilahirkan daripada model RS, jadi Tuono 660 ini mempunyai spesifikasi sama seperti model RS 660, namun menawarkan ciri tunggangan dengan posisi lebih tinggi dan gagah, bersama-sama handlebar yang lebih besar dan lebar.

Ciri-ciri teknikal yang melengkapi Tuono 660 Concept ini termasuklah six-axis inertial measurement unit (IMU) yang mengawal sistem elektronik di dalam pakej APRC, seperti traction control, anti-wheelie control dan juga engine brake control, yang mana kesemuanya boleh dilaras sepenuhnya. Kawalan bahan api dilakukan oleh teknologi Ride-by-Wire dengan Riding Modes yang berbeza sama ada untuk jalanan atau litar.

Kelengkapan keseluruhan kemudiannya disempurnakan oleh transmisi elektronik dua hala, sistem Cornering ABS dan paparan instrumen TFT digital berwarna generasi terkini yang boleh disambungkan dengan telefon pintar melalui aplikasi spesifik (Aprilia MIA), yang membolehkan fungsinya diperluaskan lagi.

(Visited 578 times, 1 visits today)