Honda CBR250RR merupakan sebuah model sportbike paling berkuasa di dalam kelas 250cc, di samping dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih yang kebiasaannya hanya boleh didapati pada model-model lain dengan enjin lebih besar. Prestasi yang dihasilkan oleh motosikal tersebut mencapai angka 38.1hp dengan tork 23.2Nm.
Menurut maklumat daripada laman sesawang Wikipedia, Honda CBR250RR ketika ini dijual secara rasmi di pasaran Indonesia, Jepun, Thailand, Hong Kong, Macau, dan juga dijual oleh pengimport bebas di pasaran Taiwan, Vietnam dan Turki. Untuk pasaran Jepun, CBR250RR boleh didapati dalam empat pilihan warna dengan brek ABS.
Untuk pasaran Malaysia, baru-baru ini dilaporkan bahawa CBR250RR akhirnya akan dilancarkan mulai penghujung tahun 2020 akan datang. Bagaimanapun menurut sumber itu lagi, model tersebut hanya akan ditawarkan dalam jumlah terhad (limited edition) memandangkan harganya yang dijangka akan melebihi paras RM30k.
Sudah tentu jika ianya dijual pada paras harga melebih RM30k, bermakna ianya telah mencabar jualan model Honda CBR500R yang ketika ini dijual pada harga asas RM 34,499.00. Situasi inilah yang selama ini mungkin menjadi penyebab kenapa Boon Siew Honda keberatan untuk melancarkan CBR250RR di pasaran Malaysia.
Jika Boon Siew Honda benar-benar akan melancarkan CBR250RR mulai hujung tahun ini, dijangkakan model yang akan dilancarkan itu telah menerima kemaskini terbaharu dengan enjin lebih berkuasa dan tambahan spesifikasi terbaharu, khusus untuk memberikan saingan kepada model Kawasaki ZX-25R.
Juga jika benar ianya akan dijual secara edisi terhad, bermakna ianya merupakan model CBU yang akan dibawa masuk daripada kilang Honda di Indonesia. Mungkin juga Boon Siew Honda hanya akan menerima tempahan terlebih dahulu daripada peminat yang sanggup membayar tidak kira berapa pun harga yang ditetapkan.
Jadi kepada semua peminat Honda CBR250RR yang selama ini sabar menanti, mungkin sudah tiba masanya untuk menyimpan wang mulai sekarang. Harganya mungkin sedikit mahal namun pastinya berbaloi. Tambahan pula anda akan menjadi pemilik kepada sebuah model edisi terhad yang menjadi idaman ramai.