Honda memperkenalkan Rebel 250 dan Rebel 250 S Edition model tahun 2020 untuk pasaran Jepun

Honda kelmarin telah memperkenalkan model Rebel 250 dan Rebel 250 S Edition, kedua-duanya akan berada di pasaran Jepun mulai tarikh 19hb. Mac 2020. Berbanding Rebel 250, Rebel 250 S Edition tampil dengan spesifikasi yang dipertingkatkan melalui pemasangan pakej aksesori asli yang menjadi ciri standardnya.

Kedua-dua model Rebel 250 dan Rebel 250 S merupakan motosikal bergaya cruiser dengan imej yang simple dan cool, kini didatangkan dengan ciri lampu LED sepenuhnya bagi mempertingkatkan lagi penampilan dan gaya sedia ada. Ini termasuklah tambahan paparan penunjuk posisi gear di panel meter yang lebih memudahkan.

Penggunaan sistem assist & slipper clutch pula menjadikan tunggangan lebih mudah dikendalikan, seterusnya kualiti perjalanan telah dipertingkatkan. Honda Rebel 250 dikuasakan enjin 249cc (water-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, single cylinder) dengan kuasa maksimum 26PS @ 9,500rpm dan tork setinggi 22Nm @ 7,750rpm. Enjin tersebut kemudiannya digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan.

Honda Rebel 250 2020 untuk pasaran Jepun ini didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik seperti Matt Jeans Blue Metallic, Matt Fresco Brown dan Matt Armored Silver Metallic. Untuk model Honda Rebel 250 S Edition 2020, hanya satu pilihan warna sahaja ditawarkan iaitu Matte Axis Grey Metallic yang tidak kurang menariknya.

Harga yang ditetapkan adalah sebanyak 599,500 Yen (RM 22,567.42) untuk Rebel 250 dan 638,000 Yen (RM 24,016.71) untuk Rebel 250 S Edition. Sasaran jualan tahunan untuk kedua-dua model tersebut ditetapkan sebanyak 9,000 unit setahun.

*Kadar tukaran mata wang di atas adalah berdasarkan kadar semasa.

(Visited 1,238 times, 1 visits today)