Ducati perkenal Scrambler 1100 PRO dan 1100 Sport PRO

Beberapa hari yang lepas, Ducati memperkenalkan dua varian terbaharu Scrambler 1100 iaitu 1100 PRO dan 1100 Sport PRO. Antara yang baharu untuk kedua-dua model tersebut termasuklah kemaskini warna dan grafik, kemasan tempat duduk dan ekzos baharu, fender belakang lebih pendek dan posisi pemegang nombor plat yang rendah.

Ducati Scrambler 1100 Sport PRO mempunyai spesifikasi lebih lengkap berbanding model 1100 PRO, di mana ianya dipadankan handlebar baharu yang lebih sempit dan lebih pendek dengan cermin bergaya Cafe Racer dan sistem suspensi premium daripada Öhlins. Model tersebut juga menampilkan skim warna Matt Black, manakala 1100 PRO hadir dengan skim warna dua tona yang diberi nama Ocean Drive.

Kedua-dua model turut dilengkapi sistem elektronik canggih seperti Ducati Traction Control (DTC) dan ABS Cornering yang memastikan tahap keselamatan di setiap selekoh. Penunggang juga boleh memilih ciri tunggangan yang ideal melalui tiga pilihan Riding Modes standard seperti Active, Journey dan City mengikut kemahuan sendiri.

Ducati Scrambler 1100 PRO dan 1100 Sport PRO model tahun 2020 ini dikuasakan enjin 1079cc L-twin dengan janaan kuasa maksimum 86hp @ 7,500rpm dan tork puncak 88.4Nm @ 4,750rpm. Akan berada di pasaran Eropah mulai Mac 2020, manakala untuk pasaran Malaysia dikatakan bakal tiba mulai suku ketiga tahun ini.