Ducati Panigale V4 merupakan superbike terlaris di dunia buat dua tahun berturut-turut

Berdasarkan data jualan bagi tahun 2018, Ducati telah berjaya menjual sebanyak 53,004 unit motosikal keluarannya, manakala jualan bagi tahun 2019 telah meningkat sedikit kepada 53,183 unit keseluruhan. Lebih menarik lagi menurut Ducati, model Panigale V4 telah menjadi model superbike terlaris di dunia buat dua tahun berturut-turut sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2018.

Pada tahun 2018, Ducati Panigale V4 telah mencatatkan jualan sebanyak 6,100 unit, dan bagi data jualan tahun 2019, Ducati telah mengesahkan bahawa model tersebut mencatatkan angka jualan yang telah melayakkannya untuk dinobatkan sebagai model superbike terlaris di dunia untuk tahun 2018 dan 2019. Jumlah jualan keseluruhan siri Panigale untuk tahun 2019 adalah sebanyak 8,304 unit, berkurangan sedikit daripada jumlah jualan tahun 2018 yang mencapai angka keseluruhan 9,700 unit.

Untuk tahun 2020, Ducati baru-baru ini mengumumkan bahawa Panigale V4 telah tiba dengan peningkatan baharu yang menjadikan superbike tersebut kini lebih baik, lebih mudah, lebih intuitif, kurang meletihkan dan kini bersedia untuk menawan litar dengan kelajuan yang lebih pantas. Ducati Panigale V4 dikuasakan enjin 1,103cc Desmosedici Stradale yang menghamburkan kuasa maksimum 214hp at 13,000 rpm dengan tork 124Nm @ 10,000rpm.

Untuk pasaran Malaysia, Ducati V4 S boleh dimiliki pada harga sebanyak RM 172,900.00, manakala bagi model Ducati V4 R yang memiliki kuasa maksimum 221hp @ 15,250rpm dan tork puncak 112Nm @ 11,500rpm, ianya dijual pada harga RM 299,900.00. Sebagai perbandingan, model terbaharu Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2020 untuk pasaran Malaysia ditawarkan pada harga jualan RM 198,800.00.