Suzuki GSX150 Bandit 2020 di pasaran Vietnam terima kemaskini warna baharu lebih menarik

Untuk pasaran Vietnam, Suzuki GSX150 Bandit 2020 baru-baru ini telah menerima kemaskini warna baharu dan jalur rekaan grafik yang lebih menarik. Ianya didatangkan dalam dua pilihan warna baharu iaitu Black Red dan Matte Grey, dengan tanda harga yang sama VND 68,900,000, bersamaan RM 12,381.75 mengikut kadar semasa.

Menurut Suzuki Vietnam, selain daripada perubahan warna, model bergaya naked yang sporty itu tidak mengalami sebarang perubahan lain di bahagian teknikal. Ini bermakna ianya masih dikuasakan enjin bersesaran 147.3cc (DOHC, 4-valves, 1-cylinder, liquid-cooled) yang berprestasi, dengan gandingan transmisi enam kelajuan yang lancar.

Enjin yang dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik itu menghasilkan kuasa maksimum 18.9hp @ 10,500rpm dengan tork maksimum 14Nm @ 9,000rpm. Enjin tersebut mematuhi piawaian Euro 3. Tangki bahan apinya mampu memuatkan sehingga 11 liter petrol, dengan berat kering motosikal berada pada angka 135 kg.

Selain itu, Suzuki GSX150 Bandit 2020 mempunyai kerangka yang ringan dan kuat, dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang yang cekap dan berprestasi, sistem ekzos sporty, panel meter digital, lampu depan LED, dan sistem penghidup mudah dengan sekali tekan sahaja.

Tempat duduknya mempunyai ketinggian 790 mm, mempunyai rekaan yang lebih mesra pengguna dan menawarkan keselesaan maksimum untuk kedua-duanya sama ada penunggang mahu pun pembonceng. Dijangkakan Suzuki GSX150 Bandit ini bakal menarik ramai peminat seandainya turut dilancarkan di pasaran Malaysia nanti.

(Visited 2,458 times, 1 visits today)