Spyshot Yamaha Y15ZR V3 dalam resolusi tinggi, ditunggang uji bersama-sama SYM VF3i 185

Baru-baru ini telah tular sekeping gambar spyshot unit ujian Yamaha Y15ZR V3 di dalam media sosial, dalam resolusi yang jelas. Gambar tersebut telah berjaya dirakamkan oleh saudara Shahrul (FB Aarol Awe) pada tarikh 22hb. September 2020.

Semalam Arena Motosikal telah berjaya berhubung dengan saudara Shahrul dan beliau kemudiannya telah mengirimkan gambar-gambar asal dalam resolusi yang cukup tinggi. Gambar-gambar tersebut memberikan perincian yang lebih jelas berbanding gambar yang disiarkan di dalam artikel sebelum ini.

Menurut saudara Shahrul, lokasi gambar tersebut dirakamkan di lampu isyarat Rawang One bersebelahan KPJ Rawang. Lebih menarik, Yamaha Y15ZR V3 itu diuji bersama-sama model pesaing iaitu SYM VF3i 185. Kedua-dua motosikal tersebut dikatakan bergerak rapat di antara satu sama lain, dengan SYM VF3i 185 berada di depan.

Ujian yang dijalankan bersama-sama model SYM VF3i 185 itu mungkin untuk mendapatkan data perbandingan di antara kedua-duanya, termasuk penggunaan petrol dan sebagainya. Yang pasti, pemilik SYM VF3i 185 pastinya akan berbangga.

Tambah saudara Shahrul lagi, kedua-dua penunggang uji itu tidak melalui lebuhraya apabila sampai di Tol Rawang, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Batang Berjuntai menggunakan jalan negeri. Kelihatan unit ujian Yamaha Y15ZR V3 itu sedang menjalani ujian ekstensif sebelum ianya dilancarkan pada tahun depan.

Untuk anda, saksikan gambar-gambar resolusi tinggi unit ujian Yamaha Y15ZR V3 dalam paparan galeri di bawah. Disyorkan anda menggunakan browser Google Chrome untuk membesarkan gambar-gambar tersebut menggunakan jari di skrin telefon bimbit.

(Visited 5,012 times, 5 visits today)