Suzuki Malaysia beri bayangan pelancaran model GSX-R, adakah ianya model dalam siri 150cc?

Nampaknya Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. (SMSB) tidak menunggu lama untuk menghadiahkan ‘teaser’ pertama kepada para peminat motosikal Suzuki di Malaysia, apabila menyiarkan sekeping imej seperti di atas kelmarin. Jelas tertera logo GSX-R di dalam imej tersebut, yang memberikan bayangan awal model yang akan dilancarkan.

Persoalannya ialah model apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh SMSB itu? Pada pandangan Arena Motosikal, hanya dua model sahaja yang dirasakan bertepatan dengan petunjuk awal yang diberikan, iaitu sama ada Suzuki GSX-R150 atau Suzuki GSX250R. Yang pasti ianya bukan Suzuki Belang R150 Fi generasi baharu.

Jika SMSB maksudkan model yang akan dilancarkan itu ialah Suzuki GSX-R1000R 100th Anniversary Edition 2021, Suzuki GSX-R750 atau Suzuki GSX-R600, rasanya tidak perlulah ‘teaser’ tersebut disiarkan. Ini kerana model-model tersebut telah masuk dalam kategori motosikal besar, seperti mana yang ditawarkan di pasaran sebelum ini.

Berbalik kepada dua model tadi sama ada GSX-R150 atau GSX250R, dirasakan GSX-R150 lebih sesuai ditawarkan di pasaran tempatan ketika ini. Harganya sudah tentu lebih berdaya saing berbanding model GSX250R, menjadikan tumpuan pasarannya lebih luas. Jika mendapat sambutan, mungkin selepas itu giliran GSX-S150 pula.

Selepas ini dijangkakan SMSB akan terus memberikan lebih banyak pentunjuk yang berkaitan, dan mungkin akan membuat pengumuman rasmi melalui sidang media. Diharapkan percaturan SMSB kali ini akan menepati citarasa peminat motosikal tempatan, seterusnya dapat memberikan saingan kepada jenama-jenama yang lain.

Galeri : Suzuki GSX-R150

Galeri : Suzuki GSX250R

(Visited 3,704 times, 1 visits today)