Suzuki kembali ke pasaran Malaysia, terima reaksi positif di kalangan peminat

Akhirnya Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. (SMSB) hari ini mengumumkan bahawa syarikat tersebut kini kembali ke pasaran Malaysia, setelah mengambil alih syarikat terdahulu Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. yang telah ditutup dan tidak lagi beroperasi. Rasanya ini pengumuman rasmi yang pertama daripada SMSB kepada umum.

Makluman mengenai perkara tersebut telah dimuatnaik ke dalam laman Facebook rasmi syarikat beberapa jam yang lalu, dan pantas mendapat reaksi positif daripada pengikut setia jenama pengeluar motosikal berkenaan. Rata-rata peminat memberikan pujian dan menaruh harapan yang tinggi agar jenama Suzuki kembali gah seperti dulu.

Untuk anda yang mungkin kurang jelas, SMSB merupakan syarikat baharu yang akan meneruskan aktiviti perniagaan menjual motosikal di pasaran Malaysia, sama seperti yang dijalankan oleh Suzuki Assemblers sebelum ini. Bezanya dikhabarkan SMSB akan turut memperkenalkan model-model terbaharu dalam kategori di bawah 250cc.

Suzuki Assemblers sejak penghujung tahun 2016 yang lalu tidak lagi menawarkan model-model motosikal dalam sesaran enjin yang kecil, sebaliknya hanya menjual motosikal-motosikal besar dan skuter dengan kapasiti enjin di atas 250cc. Antara model-model yang ditawarkan termasuklah Suzuki Katana dan skuter Burgman 400.

Kepada anda yang mahu mengikuti perkembangan dan berita-berita terkini dari SMSB selepas ini, anda boleh ikuti laman-laman sosial syarikat tersebut melalui aplikasi Facebook, Instagram, Twitter dan laman sesawang rasmi Suzuki Malaysia. Ayuh kita berikan sokongan agar dunia motosikal tanah air akan lebih meriah selepas ini.

(Visited 842 times, 1 visits today)