Spyshot Yamaha Y15ZR V3 di Selayang, Selangor

Sekeping gambar spyshot terbaharu model Yamaha Y15ZR V3 (Yamaha Exciter 155 VVA) kini sedang rancak disiarkan di dalam media sosial tempatan, yang dirakamkan di Selayang, Selangor. Kali ini gambar spyshot tersebut hadir dengan resolusi yang lebih jelas, namun hanya menunjukkan pandangan dari bahagian belakang sahaja.

Sebelum ini gambar spyshot pertama menunjukkan bahagian sisi sebelah kanan model berkenaan, namun resolusinya agak rendah kerana ianya merupakan screenshot daripada rakaman video. Video tersebut dirakamkan di atas lebuh raya di negara kita Malaysia, dengan lokasinya dikatakan tidak jauh dari Sungai Buloh, Selangor.

Walaupun Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) kini sedang rancak menguji Yamaha Y15ZR V3 di atas jalan raya, belum tentu lagi model tersebut akan dilancarkan di pasaran tempatan dalam masa terdekat. Seperti model-model sebelum ini, semuanya dilancarkan di pasaran Vietnam terlebih dahulu, sebelum masuk ke pasaran Malaysia.

Melihat kepada gambar spyshot di atas, apa yang paling menarik perhatian ialah reka bentuk lampu belakang yang semakin tirus, yang dirasakan lebih sporty berbanding lampu belakang Y15ZR V2. Cuma kekurangannya mungkin di bahagian mudguard belakang yang kelihatan agak pelik dan dirasakan kurang sesuai reka bentuknya.

Juga dapat dilihat ialah model tersebut kini dilengkapi sistem kunci pintar (keyless) seperti mana yang dimiliki oleh model skuter Yamaha NVX 155, termasuklah soket kuasa untuk kemudahan mengecas telefon. Sistem brek ABS pula dijangka akan ditawarkan untuk varian teratas sahaja, sama seperti model Honda Winner X.

Untuk pasaran tempatan, Yamaha Y15ZR V3, atau mungkin akan dikenali dengan nama lain apabila dilancarkan nanti, dijangka akan mempunyai tanda harga yang lebih tinggi berbanding model semasa Yamaha Y15ZR V2. Ini kerana spesifikasinya yang lebih canggih, termasuk kehadiran enjin 155cc VVA yang lebih berkuasa.

(Visited 37,032 times, 1 visits today)