Netizen pertikai harga Yamaha RX-Z RM100k, dakwa ianya hanya gimik dan lakonan

Masih lagi hangat dengan berita pembelian Yamaha RX-Z 135 Catalyzer keluaran tahun 2010 versi NOS (New Old Stock), yang didakwa dibeli pada harga setinggi RM100k oleh team Rudy Geng Tayar Besar. Ramai netizen yang mempertikaikan harga pembelian tersebut dan mendakwa ianya hanyalah gimik dan lakonan semata-mata.

Malah ada individu yang mengaku sebagai bekas pekerja di kedai motosikal tersebut membocorkan rahsia bahawa Yamaha RX-Z berkenaan sebenarnya bukanlah versi NOS yang tulen, sebaliknya sebuah model yang telah direstore semula. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh manakah kesahihan dakwaan oleh individu tersebut.

Malah lebih menggemparkan lagi, screenshot paparan skrin telefon bimbit dari sebuah grup Whatsapp telah mendedahkan bahawa harga pembelian sebenar bukanlah RM100k, sebaliknya hanya RM45k sahaja. Sama seperti pendedahan yang pertama tadi, pendedahan kedua ini juga masih belum dapat dipastikan kebenarannya.

Setakat ini team Rudy Geng Tayar Besar masih belum memberikan sebarang reaksi atau maklumbalas berkenaan isu panas ini. Untuk berlaku adil kepada semua pihak, sangat wajar untuk kita semua mendengar terlebih dahulu penjelasan dari Rudy, yang dipercayai akan diperincikan di dalam video YouTube terbaharunya tidak lama lagi.

Pada pandangan Arena Motosikal, hak menjual dan hak membeli sesebuah model motosikal sama ada baharu atau pun lama, tidak seharusnya menjadi isu. Yang penting ialah penjual dan pembeli masing-masing sudah bersetuju untuk meneruskan urusniaga tersebut tanpa ada sebarang paksaan atau adanya unsur-unsur penipuan.

Cuma apa yang menjadi isu berkenaan harga Yamaha RX-Z RM100k ini ialah ianya telah diviralkan dan seterusnya sedikit sebanyak memberi kesan kepada pihak-pihak yang lain. Pengguna atau bakal pembeli mungkin akan terkesan jika harga model Yamaha RX-Z dan alat-alat gantinya terus meningkat tanpa sebab yang munasabah.

(Visited 4,871 times, 1 visits today)